Lebih daripada satu perempat populasi dunia masih tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan, lapor kajian Findex Global Bank Dunia.

Laporan tersebut mendedahkan bahawa lebih daripada separuh orang dewasa di kawasan termiskin dunia tidak mempunyai capaian terhadap sebarang sistem kewangan.

Penemuan tersebut diperoleh walaupun berlaku peningkatan statistik pemilik akaun dewasa sehingga 11 peratus sejak tiga tahun lalu. Pemilikan akaun itu dipengaruhi oleh pernaan negara-negara membangun dan juga peningkatan teknologi.

Menurut laporan berkenaan, capaian yang lebih meluas kepada sistem kewangan mampu melonjakkan penciptaan peluang kerja, meningkatkan pelaburan dalam pendidikan dan sangat penting untuk membasmi kemiskinan global.

Kajian itu juga mendapati bahawa jurang gender dalam hal ehwal kewangan masih belum dikurangkan. Jurang paling lebar adalah di Asia Selatan iaitu 65 peratus lelaki dewasa mempunyai akaun bank sementara wanita hanya 37 peratus.

Akaun-akaun kewangan mudah alih iaitu konsep membuat dan menerima pembayaran elektronik melalui gajet mudah alih di Sub Sahara Afrika menyumbang kepada pertumbuhan dalam pemilikan akaun.

Ketika ini di seluruh dunia sebanyak 62 peratus orang dewasa sedunia memiliki akaun mudah alih, berbanding 51 peratus pada tiga tahun lalu.

Akses kepada perkhidmatan kewangan boleh memainkan peranan untuk menangani kemiskinan. Kita memiliki matlamat yang besar iaitu akses kewangan universal menjelang tahun 2020,” kata Presiden Kumpulan Bank Dunia Jim Yong Kim.