DUNIA
Dua insiden babitkan pesawat Air India dalam tempoh 24 jam cetus kebimbangan

Dua insiden berasingan melibatkan pesawat Air India berlaku dalam tempoh 24 jam. -Gambar hiasan/Reuters
NEW DELHI: Syarikat penerbangan Air India berdepan dua insiden berasingan dalam tempoh 24 jam melibatkan pesawat penumpang mereka.
Ringkasan AI
- Dua insiden berasingan melibatkan pesawat Air India berlaku dalam tempoh 24 jam: kebakaran pada Unit Kuasa Tambahan (APU) pesawat AI315 di New Delhi dan pesawat AI2744 tergelincir dari landasan di Mumbai dalam hujan lebat.
- Kedua-dua insiden tidak menyebabkan kecederaan, namun pesawat terlibat digantung operasi untuk siasatan dan pemeriksaan teknikal oleh pihak berkuasa penerbangan India.
- Insiden ini berlaku sebulan selepas nahas maut pesawat Boeing 787 Dreamliner Air India di Ahmedabad, mendorong Direktorat Jeneral Penerbangan Awam India mengenakan pengawasan ketat terhadap keselamatan dan penyelenggaraan armada syarikat.
APU yang terletak di bahagian ekor pesawat berfungsi sebagai penjana kuasa untuk sistem dalaman semasa pesawat berada di darat.
Menurut jurucakap Air India, kebakaran berlaku ketika penumpang mula turun dari pesawat dan sistem keselamatan automatik telah mematikan APU secara serta-merta.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun pesawat telah digantung operasi untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa penerbangan India.
Dalam insiden kedua, pesawat Airbus A320 penerbangan AI2744 dari Kochi ke Mumbai tergelincir dari landasan utama Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj pada pagi Selasa ketika mendarat dalam hujan lebat.
Tiga tayar dilaporkan pecah dan bahagian bawah enjin mengalami kerosakan akibat menyedut serpihan dari kawasan berumput berhampiran landasan.
Semua penumpang dan kru berjaya diselamatkan tanpa kecederaan, dan pesawat telah ditunda ke pintu parkir untuk pemeriksaan teknikal.
Pihak lapangan terbang mengaktifkan landasan sekunder bagi memastikan kelangsungan operasi penerbangan sementara kerja pembaikan dijalankan.
Kedua-dua insiden ini berlaku hanya sebulan selepas nahas tragis melibatkan pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Air India yang terhempas di Ahmedabad, mengorbankan 260 orang termasuk 19 mangsa di darat.
Siasatan awal mendapati gangguan pada suis kawalan bahan api sebagai punca utama nahas tersebut.
Air India kini berada di bawah pengawasan ketat Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) India, yang telah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem keselamatan dan penyelenggaraan armada syarikat itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami