TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan bahawa dua kapal tangki minyak yang didakwa “melanggar peraturan” terbakar pada Selasa selepas terkena periuk api laut yang dipasang oleh pasukan tentera lautnya di Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Luar Iran sekali gus menegaskan bahawa negara itu tidak akan membiarkan sebarang serangan terhadapnya tanpa tindak balas, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan yang disiarkan melalui saluran berita rasminya, Sepah News, IRGC berkata kapal-kapal tangki minyak itu cuba menyeberangi selat berkenaan melalui laluan “haram” di selatan laluan air itu sebelum terkena periuk api.
IRGC memberi amaran bahawa cubaan untuk melalui laluan yang dipasang periuk api di selat itu adalah “haram” dan hanya akan mengakibatkan kemusnahan “aset pihak yang melanggar peraturan”.
IRGC mengesahkan, dalam satu lagi operasi, pasukan pertahanan udaranya menembak jatuh sebuah dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat (AS) pada Isnin malam di ruang udara Selat Hormuz. Pasukan itu turut menegaskan mereka sentiasa memantau keadaan di rantau berkenaan dan akan terus mempertahankan kedaulatan serta pengurusan selat itu.
Pada Selasa, Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata negaranya tidak akan membiarkan sebarang serangan terhadapnya tanpa tindak balas dan akan membalas dengan kekuatan yang setara atau lebih besar.
Dalam sidang media mingguan di Tehran, Baghaei menolak dakwaan yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu bahawa AS menghantar mesej untuk memaklumkan hasratnya menyerang Gunung Pickaxe Iran, yang didakwa mempunyai kaitan dengan program nuklear negara itu.
Baghaei berkata Iran menunjukkan sejak dua tahun lepas bahawa era serangan “serang dan lari” sudah berakhir, sambil menyifatkan tanggapan bahawa Tehran akan mengelak daripada bertindak balas sebagai “khayalan”.
Beliau berkata tiada perbincangan diadakan antara Tehran dengan Moscow mengenai butiran isu nuklear Iran semasa lawatan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov ke Iran baru-baru ini.
Dalam temu bual dengan Newsmax pada Khamis malam, Presiden AS Donald Trump berkata Washington mungkin perlu menyasarkan Gunung Pickaxe di Iran, sambil menegaskan bahawa AS mahu memastikan Tehran tidak membangunkan senjata nuklear.
-- BERNAMA-XINHUA