DUNIA

Dua maut dalam kebakaran hutan di Turkiye

Agensi 04/07/2025 | 01:50 MYT
Kebakaran baharu turut dilaporkan berlaku pada Khamis di wilayah peranginan selatan Antalya dan kawasan berhutan berhampiran Istanbul. - Foto REUTERS
IZMIR: Seorang lagi mangsa dilaporkan maut dalam kebakaran hutan yang melanda wilayah Izmir di barat Turkiye, menjadikan jumlah korban meningkat kepada dua orang dalam insiden yang memasuki hari ketujuh di beberapa kawasan.


Ringkasan AI
  • Korban Bertambah - Dua maut dalam kebakaran hutan di Izmir, termasuk pengendali jentera dan lelaki uzur, ketika insiden masuk hari ketujuh.
  • Operasi dan Pemindahan - Pasukan bomba terus memadam api di kawasan berbukit; lebih 50,000 penduduk dipindahkan dan 200 rumah dilaporkan rosak.
  • Tuntutan Tanggungjawab - Kumpulan "Children of Fire" mengaku bertanggungjawab atas beberapa insiden, didakwa ada kaitan dengan PKK yang diharamkan.


Mangsa terbaharu, Ibrahim Demir, seorang pengendali jentera pengorek dilaporkan meninggal dunia ketika cuba memadamkan api di daerah Odemis.

Sebelum ini, seorang lelaki berusia 81 tahun yang uzur dan tinggal bersendirian di kawasan sama turut terkorban apabila api merebak ke rumahnya, menjadikannya mangsa pertama sejak kebakaran bermula.

Datuk Bandar Izmir, Cemil Tugay, dilihat berada di lokasi pada malam Khamis bagi menyelia operasi pemadaman api yang masih giat dijalankan oleh pasukan bomba.

Sebelum ini, sebuah kumpulan "Children of Fire" mengaku bertanggungjawab atas puluhan insiden pembakaran di enam bandar di Turkiye, menurut satu kenyataan yang dikongsi dalam talian.

Kumpulan ini mendakwa mempunyai kaitan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

PKK, yang sebelum ini mengumumkan penamatan pemberontakan selama 40 tahun pada Mei lalu, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, pasukan bomba terus berusaha memadamkan kebakaran menggunakan helikopter dan pesawat yang menjatuhkan air di kawasan berbukit di Izmir, manakala beberapa jalan raya menuju ke bandar peranginan Cesme di Laut Aegean telah ditutup.

Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya, kebakaran di barat Turkiye telah merosakkan kira-kira 200 kediaman dan mangsa telah diberikan penempatan alternatif manakala seramai 50,000 orang telah dipindahkan sementara awal minggu ini.

Kebakaran baharu turut dilaporkan berlaku pada Khamis di wilayah peranginan selatan Antalya dan kawasan berhutan berhampiran Istanbul, bandar terbesar di Turkiye yang mana pihak berkuasa berjaya mengawal beberapa kebakaran.






#kebakaran hutan #Ibrahim Demir #Izmir #Turkiye