LEIPZIG: Dua individu disahkan maut manakala beberapa yang lain cedera selepas sebuah kereta merempuh orang ramai di bandar Leipzig, timur Jerman, pada Isnin petang, menurut pihak berkuasa tempatan.
Datuk Bandar Leipzig, Burkhard Jung, berkata suspek, seorang lelaki warga Jerman berusia 33 tahun, telah ditahan.
Advertisement
Beliau menambah motif kejadian masih dalam siasatan.
Polis mengesahkan sebuah kenderaan telah melanggar beberapa orang di kawasan pusat bandar Grimmaische Straße sebelum terus bergerak menjauhi lokasi.
Ketua Jabatan Bomba Leipzig, Axel Shuh, memaklumkan 22 orang cedera dalam kejadian itu, termasuk dua yang mengalami kecederaan serius.
Ketua kerajaan negeri Saxony, Michael Kretschmer, berkata suspek mempunyai sejarah penyakit mental.
Jurucakap polis Leipzig, Susanne Luebcke, berkata kira-kira jam 5.35 petang waktu tempatan, seseorang telah memandu kenderaan melalui Augustusplatz ke arah Grimmaische Straße dan terus melepasi kawasan pasar.
“Beberapa individu cedera dalam insiden ini. Malangnya, kami juga perlu mengesahkan dua kematian,” katanya sambil menegaskan kejadian itu disiasat sebagai satu tindakan keganasan oleh pelaku tunggal dan setakat ini tiada ancaman lanjut terhadap keselamatan awam.
Pejabat pendakwa raya Leipzig mengesahkan mangsa yang maut ialah seorang wanita berusia 63 tahun dan seorang lelaki berusia 77 tahun, kedua-duanya warga Jerman.
Suspek disiasat atas kesalahan membunuh dan cubaan membunuh, namun pihak berkuasa berkata tiada bukti setakat ini yang menunjukkan motif agama atau politik.
Seorang saksi, dikenali sebagai Susi, memberitahu Radio Leipzig bahawa beliau mendengar bunyi hentaman kuat dan melihat kenderaan terbabit dipandu pada kelajuan tinggi.
Beliau dan rakannya berlindung di sebuah kedai barang kemas berhampiran sebelum melihat beberapa mangsa terbaring di atas jalan raya.
Seorang lagi saksi berkata kenderaan itu berhenti di penghadang jalan dan orang ramai bertindak memberi bantuan kecemasan sebelum polis tiba dan menahan pemandu.
Jerman menyaksikan beberapa insiden serangan menggunakan kenderaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Disember 2024, sekurang-kurangnya enam orang maut dalam serangan di pasar Krismas di Magdeburg, manakala pada Februari tahun lalu, lebih 30 orang cedera dalam insiden serupa di Munich.