DUNIA
Dua peninju Jepun maut akibat kecederaan otak selepas pertarungan

Dunia tinju Jepun dikejutkan dengan kematian dua peninju muda, Shigetoshi Kotari dan Hiromasa Urakawa beberapa hari selepas mengalami kecederaan otak dalam pertarungan berasingan pada 2 Ogos lalu.
TOKYO: Dunia tinju Jepun dikejutkan dengan kematian dua peninju muda, Shigetoshi Kotari dan Hiromasa Urakawa beberapa hari selepas kedua-duanya mengalami kecederaan otak dalam pertarungan berasingan pada acara yang sama di Korakuen Hall, Tokyo pada 2 Ogos lalu.
Kedua-dua peninju berusia 28 tahun itu dilaporkan menjalani pembedahan akibat pendarahan dalam tengkorak (subdural haematoma) selepas pertarungan masing-masing.
Kotari meninggal dunia pada hari Jumaat selepas bertarung selama 12 pusingan menentang Yamato Hata yang berakhir dengan keputusan seri.
Sementara itu, Urakawa pula tewas menerusi tumbukan KO kepada Yoji Saito dan disahkan meninggal dunia pada hari Sabtu.Dalam kenyataan rasmi, Majlis Tinju Dunia (WBC) menyatakan rasa dukacita atas pemergian Kotari dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga serta rakan-rakannya.
"WBC dan Presidennya, Mauricio Sulaiman amat berdukacita atas kehilangan ini dan mendoakan kekuatan buat keluarga dan sahabat beliau dalam menghadapi saat sukar ini," kata kenyataan itu.
Organisasi Tinju Dunia (WBO) pula menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar buat komuniti tinju Jepun.
"Kami mengucapkan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga, rakan-rakan dan komuniti tinju Jepun dalam masa yang amat sukar ini," kata WBO.
Insiden tragik ini berlaku hanya beberapa bulan selepas peninju Ireland, John Cooney meninggal dunia akibat kecederaan otak selepas pertarungan mempertahankan gelaran Celtic pada Februari lalu.
Kematian dua peninju Jepun ini sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan dalam sukan tinju profesional dan keperluan penambahbaikan dalam protokol perubatan serta pemantauan kesihatan atlet. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami