Pengajaran penting bagi seluruh dunia daripada percubaan rampasan kuasa di Turki pada 15 Julai lepas, menurut Ketua Pengarah Penerangan dan Media Turki.

Mehmet Akarca yang juga penasihat kanan kepada Perdana Menteri Turki, berkata walaupun Turki telah melalui beberapa rampasan kuasa tentera beberapa dekad yang lepas, rampasan terbaru yang dipatahkan oleh kuasa rakyat, belum pernah terjadi sebelum ini.

"Ia sama sekali tidak dijangka. Pengkhianat bertindak dengan kerahsiaan yang tinggi serta merancang untuk merampas kuasa, dengan penglibatan ramai jeneral utama dan malah sebahagian adalah pembantu rapat dengan mereka yang berada di koridor kuasa," katanya kepada delegasi media dari empat negara ASEAN yang melakukan lawatan ke sini.

Tidak seperti rampasan kuasa yang lepas, kali ini dalangnya berpangkalan di Amerika Syarikat, ulama Turki, Fatullah Gulen, yang mengetuai sebuah pertubuhan di Turki, dikenali sebagai Pertubuhan Pengganas Fetullah (Feto).

Pegawai kanan kedua-dua pemerintah -- Parti AK dan dua pembangkang utama di Parlimen, MHP dan CHP, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang delegasi media temui beberapa hari yang lepas, menjelaskan mengenai rangkaian Feto di lebih 160 negara yang mengusahakan sekolah, ladang dan hospital.

Menurut mereka, di Turki, Feto bertopengkan sebuah pertubuhan agama tetapi menyusup ke semua peringkat tentera serta awam dan selepas cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai gagal, kira-kira 50,000 orang ditangkap. Antara yang ditahan ketua pengiring kepada presiden Turki.

Terlepas dari maut

Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam temu bual dengan CNN tidak lama selepas cubaan rampasan kuasa itu, berkata beliau sendiri terlepas daripada maut hanya beberapa minit sebelum insiden perusuh menyerbu resort tempat percutian beliau di barat daya Turki.

"Jika saya menetap lebih lama iaitu 10 ke 15 minit, mungkin saya telah ditawan," kata Erdogan.

Akarca, baru sahaja dilantik sebagai Ketua Pengarah Penerangan dan Media Turki pada bulan lepas, yang sebelum itu merupakan seorang wartawan selama 40 tahun.

"Saya berada di dalam premis saluran TV saya pada malam cubaan rampasan kuasa itu dan kami semua menjangkakan akan dibunuh pada bila-bila masa," katanya.

Sambil bercakap, Akarca turut menayangkan video menunjukkan berjuta-juta rakyat Turki membanjiri jalan raya selepas Erdogan merayu kepada mereka melalui aplikasi Facetime di telefon bimbitnya untuk menghentikan kemaraan kereta kebal dan perisai di laluan mereka.

Kumpulan perampas sebelum itu telah menyerbu studio TV milik negara, apabila memaksa pembaca berita wanita yang ketika itu sedang ke udara, mengumumkan mereka telah merampas kuasa.

"Pengajaran penting bagi seluruh dunia daripada peristiwa yang dilalui Turki baru-baru ini ialah apabila rakyat memberi sokongan dengan membanjiri jalan raya, perampas kuasa tidak akan berjaya.

"Kereta perisai mungkin akan melanggar seorang warga Turki tetapi mereka akan berhenti melakukannya bagi individu kedua atau ketiga, yang telah berbaring di laluan itu," kata Akarca.

Bagaimanapun, helikopter bersenjata dan tentera yang berada di darat telah melepaskan tembakan kepada kumpulan penunjuk perasaan menyebabkan kira-kira 241 orang terbunuh dan lebih 2,000 tercedera.

Kuasa rakyat

Penyatuan kuasa rakyat yang mempamerkan solidariti untuk menyelamatkan demokrasi Turki tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara.

Untuk pertama kalinya di negara berlakunya rampasan kuasa ini, pengkhianat yang menaiki jet pejuang F-16 telah mengebom kompleks Parlimen.

Pegawai itu berkata kepada kami, ia adalah tindakan yang tidak boleh diterima kerana Parlimen adalah kehendak rakyat.

Merujuk kepada tindakan pengkhianat dalam komplot rampasan kuasa itu yang memegang jawatan penting di Turki, Akarca berkata: "Ia menunjukkan dalam pentadbiran negara, anda tidak seharusnya percaya kepada sesiapa walaupun bapa kandung sendiri".

Beliau juga mencemuh khabar angin yang tersebar di Turki kemungkinan berlaku lagi rampasan kuasa.

"Ini tidak mungkin. Kami telah menahan semua jeneral manakala operasi pembersihan besar-besaran sedang dijalankan untuk menghapuskan pelaku yang terlibat dalam cubaan rampasan kuasa baru-baru ini," katanya.

Katanya ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

Turki juga menghantar permintaan rasmi ke Amerika Syarikat untuk mengekstradisi Gulen, suspek utama yang dituduh melakukan cubaan rampasan kuasa yang kini merupakan orang paling dikehendaki di negara ini. - BERNAMA