Duta Iran label Amerika ‘pengganas ekonomi’

Valiollah Mohammadi Nasrabadi, mendakwa bahawa tindakan Washington tersebut telah menyebabkan penderitaan kepada ramai rakyat Iran.
KUALA LUMPUR: Langkah Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi berterusan terhadap Iran disifatkan sebagai tindakan ‘pengganas ekonomi’.
Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, mendakwa bahawa tindakan Washington tersebut telah menyebabkan penderitaan kepada ramai rakyat Iran.
“Melalui sekatan itu, mereka cuba membunuh rakyat secara tidak langsung. Inilah yang kami maksudkan sebagai ‘pengganas ekonomi’,” katanya ketika wawancara bersama Astro AWANI di sini hari ini.
Mohamadi Nasrabadi berpendapat sekatan itu bertujuan menyusahkan rakyat Iran supaya bangkit menentang Republik Islam.
Namun menurutnya, rusuhan yang pada asalnya adalah himpunan aman pada 28 Disember telah berjaya ditenteramkan pada 10 Januari lalu.
“Mereka AS mahu rakyat Iran menderita akibat sekatan dan bangkit menentang pemerintah, Ini membuktikan bahawa mereka juga gagal mencapai matlamat tersebut,” katanya.
Pada 15 Jan, Setiausaha Perbendaharaan (AS) Scott Bessent mengumumkan, Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) mengenakan sekatan terhadap individu utama didakwa sebagai ‘ariketk’ menghalang himpunan aman yang berlangsung awal bulan ini.
AS berdiri teguh di belakang rakyat Iran dalam seruan mereka untuk kebebasan dan keadilan, ujar Bessent.
Mohamadi Nasrabadi berpendapat, tindakan itu seolah-olah menunjukkan bahawa AS secara tidak langsung mengakui peranan mereka dalam rusuhan yang berlaku.
Beliau turut menyatakan bahawa ramai rakyat Iran terkesan oleh rusuhan 12 hari itu, yang menurutnya dirancang dan dipengaruhi oleh ejen-ejen dari kuasa asing termasuk AS dan Israel.
Tambahnya, rusuhan itu mencapai kemuncaknya pada 8 dan 9 Januari apabila perusuh mula memusnahkan hampir 250 buah masjid dan membakar Al-Quran, sekali gus mendorong rakyat Iran bangkit menuntut tindakan tegas kerajaan terhadap mereka.
“Mereka (ejen luar) cuba mengheret Iran ke kancah perang saudara, seperti yang mereka lakukan di Libya, Tunisia, Sudan, Syria, dan Iraq semasa zaman ISIS.
“Mereka ingin mengulangi perkara yang sama di Iran, tetapi mereka tidak faham bahawa rakyat Iran tidak menyokong mereka,” katanya.
Mohamadi Nasrabadi turut menekankan bahawa rakyat Iran, dengan tamadun berusia 4,000 tahun, tahu bagaimana menguruskan masalah mereka sendiri, dan kali ini mereka berjaya menanganinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


