LONDON: Duta Palestin ke United Kingdom (UK) menuduh kerajaan British itu "double standard dan hipokrit" dalam dasar mereka terhadap Palestin.

Husam Zomlot mengkritik Perdana Menteri UK, Rishi Sunak kerana menentang permohonan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam perang di Gaza.

Tegas Husam, UK telah mengalami "kerosakan reputasi" di Asia Barat.

Dalam masa sama, Husam mengalu-alukan keputusan kerajaan UK baru-baru ini  yang melarang pengganas Israel daripada memasuki UK.

Bulan lalu, Setiausaha Luar UK, David Cameron berkata, pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan ke atas rakyat Palestin akan dihalang memasuki negara itu.

Langkah itu diambil UK susulan pengumuman rancangan yang serupa oleh Amerika Syarikat.

"(Halang kemasukan pengganas Israel) dialu-alukan," kata Zomlot.

"Pada pendapat saya itu adalah detik yang sangat penting - bukan kerana dasar itu sendiri tetapi kerana ini adalah kali pertama dalam 75 tahun UK mengambil sebarang langkah yang berkaitan dengan sekatan (ke atas Israel)," tegas beliau lagi.

Terdapat peningkatan ketara laporan keganasan yang dilakukan oleh peneroka sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya sejak serangan besar-besaran Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober dan kempen ketenteraan Israel di Gaza yang menyusul.

Dianggarkan terdapat kira-kira 700,000 peneroka Yahudi yang tinggal di kira-kira 140 penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, kawasan yang diduduki oleh Israel sejak perang Timur Tengah 1967 dan dituntut oleh rakyat Palestin untuk negara masa depan.

Penempatan itu dianggap haram oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa, walaupun Israel mempertikaikan perkara ini.

Bagaimanapun, Husam mengecam Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan UK yang melarang badan-badan awam daripada memboikot aktiviti ekonomi dengan Israel atau penempatan Israel.

"Ini tidak konsisten. Di manakah anda (UK) sebenarnya? Adakah anda menganggap pendudukan Israel di sempadan 1967 sebagai pendudukan dan penjajahan tentera?

"Dasar UK sangat tidak konsisten sehingga saya... tidak faham lagi jika anda bertanya kepada saya "apakah dasar UK vis-a-vis Palestin?" Saya tidak tahu. Tidak konsisten, bercanggah," kata beliau dalam sidang media di London.

Zomlot yang juga Ketua Misi Palestin ke UK turut menegur Perdana Menteri Sunak kerana menolak kes Afrika Selatan di ICJ yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.

ICJ mula mendengar kes itu pada akhir minggu lalu.

Jurucakap Perdana Menteri berkata, Sunak percaya dakwaan itu "sama sekali tidak wajar dan salah."
"Kerajaan UK berpegang pada hak jelas Israel untuk mempertahankan dirinya dalam rangka kerja undang-undang antarabangsa," kata jurucakap itu.

Bantahan UK terhadap dakwaan genosid oleh Afrika Selatan, kata Husam, memperlihatkan "diri mereka (UK) sendiri sebagai hakim antarabangsa dan ia merupakan campur tangan dan gangguan dalam sistem kehakiman antarabangsa".

Sehubungan itu, UK, tegas Husam, bersalah dengan sikap "double standard" dan "hipokrit" dalam
pendekatannya terhadap Israel dan undang-undang antarabangsa.

Diplomat itu juga menuduh Israel melakukan "bencana kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelum ini" di Gaza, dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk menuntut gencatan senjata.

"Tiada apa yang penting selain gencatan senjata dilakukan segera. Ini (gencatan senjata) tetap menjadi keutamaan kami,” tambah beliau.

Dianggarkan sekitar 24,000 orang telah terbunuh dalam pengeboman Israel di Gaza - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - sejak 7 Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.

Israel membalas serangan dengan tujuan yang diisytiharkan untuk memusnahkan Hamas selepas kumpulan pejuang Palestin itu membunuh 1,300 orang, kebanyakannya orang awam dan menawan 240 tebusan ke Gaza dalam serangannya ke atas Israel. - Agensi