WASHINGTON: Angkasa lepas tidak seharusnya menjadi medan konfrontasi antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS), kata Duta Rusia ke Washington Alexander Darchiev, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Adalah penting untuk memastikan angkasa lepas kekal sebagai wadah kerjasama, bukannya medan konfrontasi atau persaingan.
Advertisement
"Kita boleh merujuk kepada projek Soyuz-Apollo sebagai contoh, yang masih saya ingat dengan jelas, ketika saya menyaksikan secara langsung penyambungan kapal angkasa Soviet dan AS bersama rakan-rakan saya.
"Begitu juga dengan program Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), yang baru-baru ini dilanjutkan,” kata Darchiev semasa tayangan filem di kedutaan sempena Minggu Angkasa Lepas di Rusia.
Darchiev menggesa agar pencapaian sedia ada dalam penerokaan angkasa lepas terus diperkukuh.
“Asas yang kukuh telah diwujudkan dan kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan kerjasama angkasa lepas antara Rusia dan AS, bersama negara-negara lain yang mempunyai kemampuan angkasa lepas demi manfaat rakyat kita dan dunia secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata, penerokaan manusia pertama ke angkasa lepas telah mencetuskan gelombang luar biasa semangat dan kebanggaan dalam kalangan rakyat Soviet.
Sempena Minggu Angkasa Lepas yang disambut di Rusia, dua dokumentari akan ditayangkan di kedutaan, iaitu The Space History of Russia dan The World We Live In.
“Saya juga ingin menekankan bahawa misi penting Artemis II AS masih sedang berlangsung, membuka laluan kepada pendaratan manusia kali kedua di Bulan.
"Pada masa sama, Roscosmos mengumumkan rancangan bagi stesen lunar domestik menjelang 2030,” kata Darchiev.
NASA mengesahkan Artemis II dilancarkan pada 1 April 2026 dan misi itu masih berjalan, manakala laporan Rusia minggu ini menyebut perancangan berkaitan infrastruktur bulan Rusia terus digerakkan, walaupun beberapa butiran teknikal yang diumumkan secara rasmi merujuk tempoh awal 2030-an.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI