BERLIN: Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) pada Rabu mengeluarkan Buletin Maklumat Zon Konflik yang menasihatkan pengendali penerbangan supaya mengelak sebahagian ruang udara Arab Saudi susulan peningkatan risiko keselamatan serantau, lapor Xinhua.
Menurut buletin itu yang berkuat kuasa hingga 16 Nov, syarikat penerbangan disaran supaya tidak melakukan penerbangan pada sebarang aras penerbangan dalam kawasan yang ditetapkan di sepanjang sempadan Wilayah Maklumat Penerbangan Jeddah (FIR Jeddah).
Agensi itu turut menasihatkan pengendali supaya berwaspada ketika melakukan penerbangan di kawasan lain dalam FIR Jeddah serta mengekalkan perancangan kontingensi pada tahap tinggi.
EASA memaklumkan peningkatan serangan Houthi yang menyasarkan infrastruktur jauh di dalam wilayah Arab Saudi meningkatkan risiko pesawat awam tersalah dikenal pasti, selain risiko peluru berpandu dan dron melintasi ruang udara, aktiviti pemintasan serta serpihan yang jatuh.
Menurut buletin itu, susulan konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, situasi keselamatan serantau kekal sangat tidak menentu.
-- BERNAMA-XINHUA