WASHINGTON: Seorang ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) menembak mati seorang warga Mexico dalam satu insiden yang melibatkan ejen persekutuan di Houston, Texas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) pada Selasa.
Jabatan itu menerusi hantaran di platform media sosial X memaklumkan lelaki berkenaan, yang didakwa berada di Amerika Syarikat (AS) secara tidak sah, enggan mematuhi arahan ejen terbabit ketika berada di dalam kenderaannya.
Menurut jabatan itu, lelaki berkenaan terlebih dahulu merempuh sebuah kenderaan milik ejen persekutuan sebelum cuba melanggar seorang ejen menggunakan keretanya, menyebabkan ejen ICE terbabit melepaskan tembakan.
Bagaimanapun, butiran kejadian itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Pemandu berkenaan dibawa ke hospital namun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, menurut jabatan itu.
DHS telah membuka siasatan dalaman berhubung insiden tembakan itu, manakala pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Houston sedang menyiasat dakwaan cubaan menyerang seorang ejen persekutuan.
Menurut jabatan itu, insiden berkenaan berlaku pada awal pagi. Bagaimanapun, jabatan itu tidak menjelaskan mengapa Lorenzo Salgado Araujo didakwa berada di Amerika Syarikat secara tidak sah.
Dalam beberapa kes serupa sebelum ini, rakaman video operasi berkenaan telah menimbulkan keraguan yang ketara terhadap penjelasan pihak berkuasa. Menurut NBC News, beberapa saksi turut merakam gambar dan video kejadian itu.
Pada Januari lalu, ejen persekutuan menembak mati dua warga Amerika Syarikat, Renee Good dan Alex Pretti. Tindakan ejen terbabit mencetuskan kemarahan meluas di seluruh negara.
-- BERNAMA-dpa