Skip to main content

Malaysia

Jemputan ketua junta Myanmar, isu 3R antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

- Foto Parlimen Malaysia
- Foto Parlimen Malaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Isu jemputan Malaysia kepada ketua kerajaan junta Myanmar baru-baru ini serta usaha kerajaan menangani isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) antara perkara yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang rasmi Parlimen, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dijadual meminta Perdana Menteri menjelaskan sama ada Malaysia kesal kerana menjemput ketua kerajaan junta Myanmar itu ke negara ini.

Soalan yang akan dikemukakan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri itu menyusuli keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 19 Nov lepas berhubung pembunuhan ribuan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan Myanmar.

Advertisement

Sementara itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan mengenai keperluan memastikan isu 3R, khususnya berkaitan agama, tidak dipolitikkan atau dibangkitkan secara tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) meminta Menteri Pertahanan menjelaskan keutamaan penggunaan teknologi dan sistem pertahanan yang dibangunkan oleh industri tempatan dalam perolehan Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Advertisement

Antara teknologi yang menjadi perhatian ialah radar, sensor, sistem pengawasan, sistem autonomi dan peperangan elektronik, selaras dengan aspirasi memperkukuh kemandirian pertahanan negara menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) pula meminta Menteri Digital menjelaskan pendirian kerajaan terhadap ancaman kebergantungan emosi kanak-kanak kepada entiti kecerdasan buatan (AI) yang berperanan sebagai teman maya (AI companion).

Selesai sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat jawatankuasa.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan itu dijadual berlangsung hingga 26 Nov ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement