WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa peningkatan konflik dalam perang terhadap Iran serta gangguan berterusan pasaran minyak berpotensi mengheret ekonomi dunia ke ambang kemelesetan.
Ketua Ahli Ekonomi IMF, Pierre‑Olivier Gourinchas, berkata senario terburuk melibatkan kejutan berulang terhadap pasaran tenaga boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi global kepada kira‑kira 2 peratus, berbanding unjuran asas 3.1 peratus yang dikemukakan dalam laporan World Economic Outlook terkini.
Advertisement
Di bawah senario buruk itu, harga minyak mentah diramal mencecah purata AS$110 (kira‑kira RM435) setong pada 2026 dan meningkat kepada AS$125 (kira‑kira RM495) setong menjelang 2027, sekali gus berisiko mencetuskan tekanan inflasi dan gangguan kewangan global.
Walau bagaimanapun, senario lebih positif mengandaikan konflik tersebut bersifat sementara, dengan gangguan tenaga mereda menjelang pertengahan 2026, sekali gus membolehkan harga minyak kembali stabil pada purata AS$82 (kira‑kira RM325) setong bagi separuh kedua 2026.
Senario sederhana pula menjangkakan konflik berlarutan yang akan mengekalkan harga minyak sekitar AS$100 (kira‑kira RM395) setong tahun ini, sebelum susut kepada AS$75 (kira‑kira RM296) setong pada 2027.
Di bawah anggaran ini, pertumbuhan global diunjurkan menyusut kepada 2.5 peratus tahun ini, berbanding 3.4 peratus pada 2025.
Gourinchas memberitahu pemberita bahawa ketiadaan hala tuju jelas untuk menamatkan konflik menjadikan senario sederhana atau “senario buruk” itu semakin berkemungkinan berlaku, sambil memberi amaran kesannya boleh meluas kepada inflasi, kadar faedah dan kestabilan pasaran kewangan antarabangsa.