SINGAPURA:Daripada segi ekonomi, Singapura juga belum keluar daripada masalah tetapi ia mula melihat tanda-tanda penstabilan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Perutusan Tahun Baru 2021.

"Selepas kemerosotan teruk dialami sejak mencapai kemerdekaan, kita mahu melihat pemulihan pada tahun 2021, walaupun pemulihannya tidak sama rata, dan aktiviti cenderung berada pada tahap rendah berbanding sebelum berlaku penularan COVID-19 untuk beberapa ketika kelak," katanya.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dijangka akan mencapai antara -6,5 hingga -6,0 peratus pada 2020 dan +4,0 hingga +6,0 peratus pada 2021.

Kementerian Perdagangan dan Perindustrian republik itu akan mengeluarkan anggaran KDNK awal untuk suku keempat dan sepanjang tahun 2020 pada 4 Januari depan.

Lee berkata melalui usaha dan pengorbanan, ia telah menstabilkan keadaan di Singapura, walaupun virus itu terus merebak ke seluruh dunia."

Perdana Menteri Singapura itu berkata bahawa republik itu telah mencapai objektif utamanya untuk melindungi nyawa dan menjaga keselamatan rakyat.

"Kita telah memastikan kadar kematian adalah rendah. Jumlah jangkitan tempatan baharu turun menjadi sedikit dalam tempoh sehari, dan kebanyakannya sifar untuk tempoh yang panjang," katanya.

Singapura, setakat ini melaporkan 29 kematian akibat koronavirus, telah memasuki fasa tiga untuk membuka semula kegiatan ekonomi dan sosialnya pada 28 Disember lepas.

Bahagian pertama vaksin Pfizer dan BioNTech telah tiba di Singapura pada 21 Disember, dan suntikan vaksin sudah pun bermula.

"Kini kita boleh lihat perkembangan positif akan berlaku kelak," kata Lee sambil meminta sokongan daripada orang ramai untuk terus mengamalkan kebiasaan baharu.

Setakat tengah hari, hari ini, Singapura melaporkan 30 kes baru COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 58,599 kes.

-- BERNAMA