KUALA LUMPUR: Eksport Thailand diunjurkan melonjak 17.8 peratus kepada AS$400 bilion pada 2026, dipacu oleh permintaan global yang kukuh terhadap barangan elektronik dan teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI), lapor TV BRICS yang memetik Thai PBS.
Eksport dijangka mengekalkan momentum peningkatan pada 2027, dengan pertumbuhan berterusan sebanyak 7.4 peratus kepada kira-kira AS$430 bilion.
“Negara itu juga berhasrat memanfaatkan pelaburan global dalam AI dan pusat data, menerusi kemudahan infrastruktur, kerangka kawal selia, rantaian bekalan serta tenaga kerja yang berpotensi menyokong pembangunan kemudahan pusat data di Asia Tenggara,” menurut laporan itu.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand diramal berkembang antara 2.2 hingga 2.5 peratus pada 2026, dan berpotensi mencapai tiga peratus pada 2027.
Prospek berkenaan bergantung pada pelaksanaan langkah-langkah ekonomi, usaha memperkukuh keyakinan pelabur serta keupayaan menarik pelaburan asing.
Sementara itu, Thailand menyasarkan untuk menerima kehadiran antara 31.5 juta hingga 32 juta pelancong antarabangsa pada 2026, dengan sektor pelancongan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Selain pelancongan, sektor eksport dan pelaburan dalam teknologi baharu dijangka menyokong pengembangan ekonomi Thailand bagi tahun-tahun mendatang.
-- BERNAMA