Skip to main content

Advertisement

Dunia

Elak pembelian panik, stok bahan api domestik kekal mencukupi - Menteri Indonesia

Sumber: Bahlil Lahadalia
Bahlil, Purbaya serta beberapa menteri Kabinet Indonesia menghadiri mesyuarat di Istana Presiden di Jakarta pada petang Selasa bagi membincangkan harga minyak mentah global. - Foto Facebook Bahlil

JAKARTA: Indonesia menggesa orang ramai supaya kekal tenang dan mengelakkan pembelian panik walaupun terdapat laporan mengenai kenaikan harga minyak mentah global susulan konflik di Asia Barat.

Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia mengesahkan bahawa stok bahan api domestik kekal mencukupi dan terjamin bagi memenuhi permintaan orang ramai.

Advertisement

“Apa yang kami maksudkan sebelum ini mengenai 21 hingga 25 hari adalah merujuk kepada kapasiti penyimpanan kami, namun bekalan tambahan akan terus tiba. Operasi industri berjalan seperti biasa dan import kami kekal mengikut jadual,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA pada Selasa malam.

Terdahulu, Bahlil bersama Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa serta beberapa menteri Kabinet lain menghadiri mesyuarat di Istana Presiden di Jakarta pada petang Selasa bagi membincangkan harga minyak mentah global yang telah melepasi paras US$100 setong susulan peningkatan ketegangan di Asia Barat.

Bahlil berkata Indonesia mengimport minyak mentah terutamanya dari Asia Barat, manakala produk bahan api bertapis diperoleh dari negara Asia Tenggara sebelum diproses di dalam negara.

Beliau turut mengesahkan bahawa harga bahan api bersubsidi akan kekal tidak berubah sehingga Aidilfitri walaupun berlaku lonjakan harga minyak mentah global.

Sementara itu, Purbaya berkata kerajaan memantau rapat kenaikan harga minyak global dan akan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang pelarasan dasar fiskal.

“Kami memerhati dengan teliti sama ada harga terus meningkat atau menurun. Jika kenaikan berterusan selama beberapa hari atau minggu, maka kita boleh menjangkakan satu trend yang berterusan, namun harga juga boleh meningkat dan tiba-tiba turun semula,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan akan terlebih dahulu menilai trend harga sebelum membuat sebarang pelarasan terhadap belanjawan negara (APBN).

“Jika harga menurun semula kemudian, kami perlu menyemaknya semula. Melaraskan andaian dalam APBN memerlukan lebih banyak pertimbangan daripada bertindak balas terhadap pergerakan pasaran harian,” katanya.

Pada masa ini, beliau berkata subsidi bahan api dalam APBN adalah berdasarkan andaian purata harga minyak mentah sebanyak US$70 setong bagi tahun fiskal penuh.

Beliau menambah bahawa kerajaan tidak akan bertindak balas serta-merta terhadap turun naik harga jangka pendek, sambil menegaskan bahawa pelarasan dasar fiskal memerlukan pertimbangan lebih teliti berbanding reaksi terhadap pergerakan pasaran harian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video