Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 10 maut akibat cuaca ekstrem di Afrika Selatan

A man removes debris from a damaged house following severe weather in Cape Town, South Africa, May 11, 2026. REUTERS/Esa Alexander
Seorang lelaki membersihkan serpihan dari sebuah rumah yang rosak susulan cuaca buruk di Cape Town, Afrika Selatan. - Foto REUTERS

CAPE TOWN: Sekurang-kurangnya 10 orang maut akibat cuaca ekstrem di beberapa wilayah di Afrika Selatan, lapor Xinhua memetik kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Presiden pada Isnin.

Presiden Cyril Ramaphosa menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat hujan lebat, banjir, ribut petir, angin kencang dan salji.

Kerajaan mengisytiharkan bencana negara melalui Pusat Pengurusan Bencana Negara susulan kematian, kerosakan infrastruktur, gangguan perkhidmatan dan perpindahan penduduk.

Cuaca ekstrem menjejaskan enam wilayah iaitu Western Cape, Eastern Cape, Northern Cape, North West, Free State dan Mpumalanga sejak 4 Mei.

Antara kematian yang dilaporkan termasuk seorang pekerja sosial yang maut selepas pokok tumbang menghempap keretanya di Knysna, tiga orang maut dalam kejadian banjir di Northern Cape, serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dihanyutkan arus di wilayah North West.

Pihak berkuasa Western Cape turut melaporkan tiga lagi kematian yang masih disiasat.

Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan memberi amaran bahawa hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan hingga Selasa.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video