DUNIA
Elon Musk kecam rang undang-undang cukai Trump sebagai 'menjijikkan dan memalukan'

Musk mengkritik keras rang undang-undang cukai dan perbelanjaan yang menjadi tunjang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan menyifatkannya sebagai “menjijikkan dan memalukan.” - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Bilionair teknologi, Elon Musk mengkritik keras rang undang-undang cukai dan perbelanjaan yang menjadi tunjang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan menyifatkannya sebagai “menjijikkan dan memalukan” serta berkata beliau “tidak tahan” dengan kandungan dasar tersebut.
Rang undang-undang itu yang merangkumi potongan cukai bernilai trilion dolar serta perbelanjaan pertahanan tambahan, turut membenarkan kerajaan AS menambah hutang negara.
Ia diluluskan oleh Dewan Perwakilan pada Mei lalu.
“Memalukan kepada mereka yang menyokongnya,” kata Musk dalam satu hantaran di platform X pada Selasa.Musk yang sebelum ini berkhidmat dalam pentadbiran Trump selama 129 hari menerusi Jabatan Kecekapan Kerajaan Amerika Syarikat (DOGE) meletak jawatan minggu lalu.
Kritikan ini merupakan kenyataan terbuka pertamanya terhadap Trump sejak meninggalkan pentadbiran tersebut, selepas sebelum ini sekadar menyifatkan rancangan itu sebagai “mengecewakan.”
Pentadbiran Trump menamatkan khidmat Musk pada 31 Mei, namun Presiden itu berkata, Musk “akan sentiasa bersama kita dan terus membantu.”
Rang undang-undang yang digelar Trump sebagai “rang undang-undang besar dan indah” dijangka meningkatkan defisit belanjawan Amerika Syarikat sebanyak kira-kira AS$600 bilion pada tahun fiskal akan datang.
Dalam beberapa hantaran lanjut di X, Musk menegaskan, rang undang-undang tersebut yang “dipenuhi perbelanjaan tidak berfaedah” akan melonjakkan defisit belanjawan kepada AS$2.5 trilion dan membebankan rakyat dengan hutang yang tidak mampan.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt, apabila ditanya tentang kenyataan Musk, berkata, Presiden “sudah maklum tentang pendirian Elon Musk sejak awal.”
“Ini adalah rang undang-undang besar dan indah. Dan Presiden tetap berpegang kepadanya,” katanya.
Rang undang-undang ini turut melanjutkan pemotongan cukai yang diperkenalkan pada era pertama Trump pada 2017, meningkatkan peruntukan pertahanan, serta membiayai rancangan pengusiran besar-besaran pendatang tanpa izin.
Ia juga mencadangkan had hutang negara ditingkatkan kepada AS$4 trilion.
Komen Musk mencerminkan ketegangan dalaman dalam kalangan Republikan, apabila rang undang-undang itu dibahaskan di Senat yang turut dikuasai parti tersebut.
Senator Rand Paul dari Kentucky berkata, beliau tidak akan menyokong rang undang-undang tersebut sekiranya ia menaikkan had hutang.
“Parti Republikan akan memikul beban hutang ini jika mereka meluluskannya,” katanya kepada CBS News hujung minggu lalu.
Trump kemudian membalas kenyataan Paul dengan serangan di media sosial dan menuduh senator itu “tidak memahami isi rang undang-undang” dan mendakwa “penduduk Kentucky tidak sukakannya.”
Pemimpin Majoriti Senat, John Thune, mempertahankan rang undang-undang itu dan berkata, parti akan “terus mara sepenuhnya” walaupun terdapat perbezaan pendapat.
Speaker Dewan, Mike Johnson pula menegaskan, Musk “tersilap.”
“Saya berbual hampir 20 minit dengan Elon mengenai rang undang-undang ini. Saya terkilan dia tetap mengkritik,” katanya sambil mengakui penghapusan kredit cukai dalam rang tersebut mungkin menjejaskan Tesla, syarikat kenderaan elektrik milik Musk.
Sementara itu, beberapa ahli Demokrat menyambut baik kritikan Musk meskipun sebelum ini sering menentang beliau dan pasukan DOGE.
“Malah Elon Musk - yang terlibat dalam keseluruhan proses dan merupakan rakan Trump pun mengatakan rang undang-undang ini teruk,” kata Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer. “Itu menunjukkan betapa teruknya rang undang-undang ini.”
Trump dan Republikan menyasarkan rang undang-undang ini diluluskan sepenuhnya menjelang 4 Julai.
Difahamkan, bagi memujuk golongan konservatif fiskal, Trump turut mencadangkan pelan pengurangan perbelanjaan bernilai AS$9 bilion - yang dikatakan berdasarkan cadangan asal pasukan DOGE. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami