EMPAT anggota polis Minnesota, Amerika Syarikat dipecat susulan kematian seorang lelaki kulit hitam ketika bawah tahanan mereka dalam satu insiden pada Isnin lalu.

Rakaman video oleh seorang saksi yang tular di media sosial menunjukkan insiden anggota polis bertindak secara agresif ketika menahan mangsa, George Floyd.

Dalam video itu, George dilihat merayu kepada pihak polis yang bertindak melutut atas lehernya sehingga tidak boleh bernafas.

“Tolong, tolong, saya tak boleh bernafas,” rayu George, namun tidak diendahkan.

Pegawai polis tersebut memberitahu mangsa supaya bertenang, namun dia mengulangi rayuannya: “Saya tak boleh bernafas. Tolong, lutut pada leher saya ini.”

“Perut saya sakit. Leher saya sakit. Tolong, tolong. Saya tak boleh bernafas,” kata George sambil dilihat terbatuk dan tercungap.

Mangsa kemudian dilihat tidak bergerak dan beberapa saksi turut meminta anggota polis tersebut untuk beralih.

Menurut pihak polis, George, yang merupakan seorang peguam hak sivil, ditahan kerana didakwa menyerupai seorang suspek kes pemalsuan.

Polis Minnesota bagaimanapun mendakwa kematian itu berpunca daripada satu ‘insiden kesihatan’ susulan berinteraksi bersama polis.

Pada Selasa, Datuk Bandar Jacob Frey memaklumkan bahawa keempat-empat anggota polis yang terlibat telah dibuang serta-merta.


Kes tersebut kini disiasat oleh Federal Bureau of Investigation (FBI).

Insiden berkenaan mencetuskan sekali lagi kemarahan orang ramai berhubung keganasan polis terhadap komuniti kulit hitam di Amerika Syarikat.