DUNIA
Empat angkasawan pulang ke Bumi selepas hampir lima bulan di ISS

Gambar yang diedarkan oleh NASA menunjukkan (dari kiri) Roscosmos Kirill Peskov, Nichole Ayers, Anne McClain dan Takuya Onishi berada di dalam kapal angkasa SpaceX sejurus selepas mendarat di Lautan Pasifik berhampiran pantai San Diego, California.
WASHINGTON: Empat angkasawan antarabangsa selamat pulang ke Bumi pada Sabtu selepas hampir lima bulan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), menamatkan misi menerusi kapsul SpaceX dengan pendaratan di laut berhampiran pantai California.
Kru berkenaan terdiri daripada dua angkasawan Amerika Syarikat (AS), Anne McClain dan Nichole Ayers; angkasawan Jepun, Takuya Onishi serta angkasawan Rusia, Kirill Peskov.
Mereka mendarat pada jam 8.44 pagi waktu tempatan, sekali gus menamatkan misi rotasi kru ke-10 ke ISS di bawah Program Kru Komersial NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan) - inisiatif yang diwujudkan untuk menggantikan era Space Shuttle dengan kerjasama pihak industri swasta.
Kapsul Dragon milik syarikat SpaceX yang diasaskan jutawan Elon Musk, berlepas dari ISS pada Jumaat.Menurut NASA, kapsul itu mengalami suhu setinggi 1,925 darjah Celsius ketika memasuki semula atmosfera Bumi, sebelum kelajuan dari 28,100 kilometer sejam diperlahankan kepada sekitar 25 kilometer sejam menerusi pembukaan payung terjun gergasi.
Selepas mendarat di laut, kapsul dibawa naik ke atas kapal pemulihan SpaceX.
Hanya selepas itu kru dapat kembali menghirup udara Bumi buat kali pertama dalam tempoh berbulan-bulan.
Mereka kini akan diterbangkan ke Houston untuk bertemu semula dengan keluarga masing-masing.
Sepanjang berada di ISS, kru menjalankan pelbagai eksperimen saintifik termasuk kajian pertumbuhan tumbuhan, tindak balas sel terhadap graviti serta kesan mikrograviti terhadap mata manusia.
“Kepulangan yang manis tetapi sayu”
Pemangku Pentadbir NASA, Sean Duffy memuji kejayaan misi itu, sambil menyifatkan setiap misi kru sebagai asas kepada penerokaan angkasa lepas jangka panjang.
McClain pula menyifatkan perpisahan dengan ISS sebagai pengalaman “manis tetapi sayu” kerana mungkin tidak berpeluang kembali.
“Setiap hari, misi ini bergantung pada kerjasama seluruh dunia - melibatkan kerajaan dan sektor komersial, semua pihak politik serta komitmen kepada matlamat yang tidak berubah selama bertahun-tahun dan berdekad-dekad,” tulisnya di platform X.
NASA bulan lalu mengumumkan bakal kehilangan sekitar 20 peratus tenaga kerja — kira-kira 3,900 kakitangan - berikutan langkah penstrukturan perkhidmatan awam yang dilaksanakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Trump dalam masa sama memfokuskan misi berawak ke Bulan dan Marikh.
Pelancaran misi Crew-10 pada Mac lalu turut membolehkan dua angkasawan Amerika Syarikat kembali ke Bumi selepas sembilan bulan “terperangkap” di ISS.
Butch Wilmore dan Suni Williams pada asalnya dijadual berada di angkasa hanya lapan hari untuk menguji penerbangan pertama pesawat Starliner milik Boeing pada Jun 2024, namun masalah sistem pendorong menyebabkan ia tidak selamat untuk digunakan pulang ke Bumi.
NASA minggu ini memaklumkan, Wilmore bersara selepas 25 tahun berkhidmat di agensi itu.
Sementara itu, minggu lalu, empat lagi kru - Zena Cardman dan Mike Fincke dari AS, Kimiya Yui dari Jepun, serta Oleg Platonov dari Rusia tiba di ISS untuk misi enam bulan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami