Skip to main content

Malaysia

Kaki kanak-kanak tujuh tahun terpaksa dipotong susulan nahas motosikal di Machang

IPD Machang
Mas Siti Rosnani antara tiga yang membonceng motosikal jenis C100 ditunggang abangnya, Muhammad Muskir, 14, dalam perjalanan ke sekolah di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai di Kampung Pek, Machang, sebelum terbabit kemalangan dengan kereta jenis Honda Jazz dipandu seorang guru wanita berusia 39 tahun. -Gambar fail/IPD Machang

KOTA BHARU: Kanak-kanak perempuan yang parah dalam kemalangan melibatkan empat bersaudara ketika dalam perjalanan ke sekolah di Machang terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kanan hingga ke paras paha bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.

Bapa saudaranya, Nadzri Abdullah, 51, berkata, Mas Siti Rosnani Rosli, 7, selesai menjalani pembedahan itu di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian pada Selasa dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Menurutnya, keputusan memotong kaki kanan kanak-kanak itu dibuat selepas berlaku pembekuan darah selain tisu serta isi daging pada bahagian berkenaan sudah mati.

“Doktor terpaksa melakukan pembedahan ini bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius,” katanya kepada pemberita.

Mas Siti Rosnani antara tiga yang membonceng motosikal jenis C100 ditunggang oleh abangnya, Muhammad Muskir,14, dalam perjalanan ke sekolah di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai di Kampung Pek, Machang, sebelum terbabit kemalangan dengan kereta jenis Honda Jazz dipandu seorang guru wanita berusia 39 tahun.

Turut membonceng motosikal itu, anak saudara mereka juga dua beradik, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, yang patah paha kanan dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, patah paha kanan serta pecah gusi.

Nadzri memberitahu, Muhammad Muskir yang patah kedua-dua paha juga dijadual menjalani pembedahan memasang besi pada kaki di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai pada Selasa.

“Muhammad Muskir cedera tulang paha kanan hancur dan perlu dimasukkan besi.

“Dua lagi cucu saudara saya, Muhamad Hakikat dan Muhammad Zulhaqif berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HSIP,” katanya.

Sementara itu, Nadzri berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai keadaan mangsa yang kini sedang dirawat di hospital.

“Saya harap semua pihak dapat mendoakan kesembuhan mereka,” katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video