HAVANA: Empat individu yang memasuki perairan Cuba menaiki sebuah bot laju berdaftar di Amerika Syarikat (AS) telah ditembak mati oleh pasukan pengawal sempadan negara itu, menurut kenyataan kerajaan Cuba.
Kementerian Dalam Negeri Cuba dalam satu kenyataan berkata insiden berlaku apabila penumpang bot berkenaan melepaskan tembakan ke arah kapal pengawal pantai yang menghampiri bagi tujuan pemeriksaan.
Advertisement
Menurut kementerian itu, enam lagi penumpang bot turut cedera dalam kejadian yang berlaku berhampiran sebuah pulau kecil di pesisir utara Cuba.
Identiti penumpang bot tersebut serta tujuan mereka berada di kawasan itu masih belum jelas.
Pihak berkuasa Cuba memaklumkan satu siasatan sedang dijalankan bagi “menjelaskan” punca dan latar belakang insiden.
Dalam kenyataan di platform X, kementerian itu berkata bot berdaftar di Florida, dengan nombor pendaftaran FL7726SH, dikesan pada pagi Rabu berhampiran Cayo Falcones di wilayah tengah Villa Clara.
Apabila sebuah kapal Cuba yang membawa lima anggota pengawal sempadan menghampiri bot tersebut untuk pengenalan, “krew bot pelanggar undang-undang itu melepaskan tembakan,” sehingga mencederakan komander Cuba yang mengetuai operasi tersebut.
Akibat konfrontasi itu, setakat laporan ini dikeluarkan, empat individu di atas bot asing tersebut telah terbunuh dan enam lagi cedera,” menurut kenyataan itu.
Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dan diberikan rawatan perubatan.
BBC melaporkan bahawa Jabatan Negara AS dan White House telah dihubungi untuk mendapatkan maklum balas, namun belum memberikan sebarang komen.
Ahli Kongres Florida, Carlos Gimenez, yang juga bekas Datuk Bandar Miami berketurunan Cuba-AS, mengutuk kejadian itu dan berikrar menuntut siasatan, menyifatkannya sebagai satu “pembunuhan beramai-ramai”.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak berkuasa AS perlu menentukan sama ada mangsa yang terbunuh atau cedera adalah warganegara atau penduduk sah AS.
Insiden ini berlaku ketika ketegangan antara Washington dan Havana semakin meningkat, dengan Cuba berdepan krisis bahan api yang semakin meruncing.
Keadaan tersebut didakwa diburukkan oleh tindakan AS menyekat penghantaran minyak dari Venezuela, sekutu rapat Cuba, ke negara pulau itu.
Dalam kenyataan yang sama, Cuba menegaskan bahawa “dalam cabaran semasa, negara tetap komited melindungi perairan wilayahnya” serta mempertahankan kedaulatannya.
Kejadian ini turut berlaku ketika Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, tiba di Saint Kitts dan Nevis untuk bertemu pemimpin Caribbean sebagai sebahagian usaha pentadbiran Trump meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Cuba.
Ia juga berlaku hanya sehari selepas komuniti Cuba-AS di Miami memperingati ulang tahun ke-30 insiden 'Brothers to the Rescue' pada 1996, yang mengorbankan empat orang selepas pesawat kumpulan aktivis itu ditembak jatuh oleh tentera udara Cuba.