DUNIA
Enam diselamatkan, empat terbunuh selepas serangan Houthi di Laut Merah

Kumpulan Houthi pada Selasa menyiarkan rakaman video yang menunjukkan lelaki bersenjata menaiki kapal dagang Magic Seas sebelum meletupkan bahan letupan. - Foto X/Clash Report
LAUT MERAH: Enam anak kapal telah berjaya diselamatkan selepas kapal dagang Eternity C yang berdaftar di Liberia dan dikendalikan oleh syarikat Greece diserang oleh kumpulan Houthi dari Yaman dan kemudiannya tenggelam di Laut Merah.
Serangan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang, manakala 15 lagi masih hilang, menurut misi tentera laut Kesatuan Eropah, Operation Aspides.
Kapal tersebut membawa 25 kru apabila ia mengalami kerosakan besar dan kehilangan kuasa pendorong selepas ditembak dengan peluru berpandu dari bot kecil pada Isnin.
Serangan berterusan pada hari Selasa, dan operasi mencari serta menyelamat dilancarkan sepanjang malam.Kumpulan Houthi yang disokong Iran mendakwa mereka menyerang Eternity C kerana kapal itu menuju ke Israel.
Mereka turut menyatakan bahawa beberapa anak kapal telah dibawa ke “lokasi selamat” selepas serangan tersebut.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Yaman menuduh Houthi menculik ramai anak kapal yang terselamat dan menuntut pembebasan segera mereka.
Pihak berkuasa Filipina mengesahkan bahawa 21 daripada kru adalah warganegara mereka, manakala seorang lagi adalah warga Rusia yang cedera parah dan kehilangan kaki dalam serangan itu.
Serangan ke atas Eternity C adalah yang kedua dalam tempoh seminggu selepas kapal Magic Seas, juga berdaftar di Liberia dan dikendalikan oleh syarikat Greece, diserang dan ditenggelamkan oleh Houthi pada hari Ahad.
Semua 22 anak kapal Magic Seas berjaya diselamatkan oleh kapal dagang yang kebetulan berada berhampiran.
Sejak November 2023, Houthi telah menyerang kira-kira 70 kapal dagang menggunakan peluru berpandu, dron dan bot kecil di Laut Merah dan Teluk Aden.
Mereka kini telah menenggelamkan empat kapal, merampas sebuah lagi, dan menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh kematian.
AS mengutuk serangan ke atas Magic Seas dan Eternity C, menyifatkannya sebagai ancaman berterusan terhadap kebebasan pelayaran dan keselamatan ekonomi serantau.
“Kami akan terus mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi pelayaran komersial daripada serangan kumpulan Houthi,” kata jurucakap Jabatan Negara AS.
Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Arsenio Dominguez, menyeru usaha diplomatik dipertingkatkan.
“Selepas beberapa bulan yang tenang, serangan terbaru ini merupakan pelanggaran semula terhadap undang-undang antarabangsa dan kebebasan pelayaran,” katanya sambil menegaskan bahawa pelaut dan penduduk tempatan adalah mangsa utama serangan dan pencemaran yang berlaku.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami