Enam lagi bom meletup di wilayah Songkhla

Astro Awani
Disember 27, 2018 15:23 MYT
Pegawai-pegawai keselamatan wilayah Songkla di selatan Thailand memeriksa patung besi Ikan Duyung di Pantai Samila yang rosak selepas menjadi sasaran serangan bom dalam kejadian yang berlaku kira-kira 10 malam semalam waktu tempatan. -BERNAMA
Enam lagi bom dilapor diletupkan di beberapa daerah di wilayah Songkhla yang terletak berhampiran sempadan Malaysia -Thailand hari ini.
Gabenor Wilayah Songkhla Wiranan Penjang berkata letupan kali ini menyasarkan tiang elektrik menyebabkan beberapa daripadanya tumbang.
Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
"Kami percaya letupan bom itu berkait dengan kejadian serangan bom di Pantai Samila lewat malam tadi," katanya sepertimana dilaporkan Bernama pada Khamis.
Dalam kejadian pada 10 malam semalam waktu tempatan, dua butir bom meletup di Pantai Samila di wilayah ini yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing termasuk rakyat Malaysia.
BACA: Letupan bom lokasi pelancongan popular di Songkla
Sebutir bom itu menyasarkan patung besi ikan duyung di Pantai Samila yang menjadi simbol industri pelancongan wilayah ini manakala sebutir lagi meletup berhampiran patung tikus dan kucing kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian pertama.
Sementara itu Wiranan berkata serangan bom malam tadi dipercayai didalangi oleh anggota kumpulan bersenjata Barisan Revolusi Nasional yang aktif di wilayah ini sejak 14 tahun lepas.
"Kedua-dua bom semalam diaktifkan menerusi jam tangan," kata gabenor itu yang percaya serangan bertujuan memusnahkan ekonomi dan industri pelancongan wilayah Songkla.
Katanya pihak berkuasa tempatan akan meningkatkan kawalan keselamatan termasuk memeriksa kenderaan pengunjung terutama menjelang sambutan tahun baharu Selasa ini.
#bom #letupan #pelancong #sempadan Malaysia -Thailand #serangan #Songkhla #Thailand #Wiranan Penjang