'Misi pencarian' telah dilancarkan di luar pantai Jepun selepas sebuah pulau dilaporkan hilang.

Pulau kecil Esanbehanakitakojima yang tidak didiami pernah digunakan untuk menggariskan perairan wilayah Jepun.

Ia terletak kira-kira 500 meter di luar pantai perkampungan Sarufutsu berhampiran hujung utara Hokkaido.

Pulau itu adalah salah satu daripada 158 pulau tidak berpenghuni yang diberi nama oleh kerajaan pada 2014 untuk menandakan perairan Jepun dengan jelas.

Di bawah undang-undang antarabangsa,ia ditakrifkan sebagai pulau jika boleh dilihat di atas permukaan laut walaupun ketika air pasang.

Jika Esanbehanakitakojima tenggelam, perairan wilayah Jepun akan mengecil.

Menurut Pengawal Pantai Jepun, Esanbehanakitakojima ditinjau pada 1987 dan rekod menunjukkan kedudukannya adalah 1.4 meter di atas purata paras laut.

Pihak Berkuasa Maklumat Geospatial Jepun menggambarkan pulau kecil itu pada peta berdasarkan carta laut yang dicipta pada 1988.

"Terdapat kemungkinan pulau itu terhakis oleh angin dan salji yang menyebabkannya hilang," kata pengawal pantai, Tomoo Fujii.

Susulan itu, pengawal pantai merancang untuk menyiasat kawasan itu untuk memastikan keselamatan navigasi kapal.