MALAYSIA
PM Anwar ingatkan jentera kerajaan teliti risiko “AI Productivity Paradox”

Perdana Menteri Anwar beramah mesra bersama para hadirin semasa hadir pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Ogos di Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan jentera kerajaan supaya berhati-hati dengan fenomena "AI Productivity Paradox" dalam pelaksanaan transformasi digital negara.
Beliau berkata, risiko "AI Productivity Paradox" merujuk kepada situasi pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi yang tidak semestinya meningkatkan produktiviti.
"Saya harap (AI Productivity Paradox) diberikan perhatian khusus di Kementerian Digital, Komunikasi dan ketua-ketua jabatan, kita tak mahu jadi (berlaku) apa yang dikatakan 'trough of disillusionment' kerana andaian yang dibuat dengan dana besar (bagi) seluruh program digital transformasi dan AI ini mencecah puluhan bilion ringgit untuk lima tahun akan datang," katanya.
'Trough of disillusionment' merujuk kepada satu fasa dalam kitaran penggunaan teknologi baharu apabila jangkaan yang tinggi pada awalnya tidak tercapai, lalu menimbulkan kekecewaan, keraguan serta penurunan keyakinan terhadap teknologi itu sebelum ia mencapai tahap kematangan sebenar.Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meminta Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi untuk meneliti soal tadbir urus data, cabaran integrasi dan cabaran teknologi maklumat (IT) serta AI dari sudut penilaian hasil.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Merujuk kajian United Nations University (Tokyo), McKinsey dan pengalaman JP Morgan, Anwar berkata, hanya tiga hingga tujuh peratus daripada peningkatan penggunaan AI benar-benar memberi kesan kepada produktiviti atau pendapatan pekerja.
Beliau berkata, perkara itu membimbangkan memandangkan tujuan kerajaan melancarkan program transformasi digital dan AI adalah untuk peningkatan hasil serta produktiviti, namun secara keseluruhan "AI Productivity Paradox" menunjukkan jaminan AI untuk meningkatkan produktiviti serta hasil itu tidak semestinya berlaku.
"Saya minta dalam tempoh dua minggu atau satu bulan, Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) dengan semua ketua-ketua jabatan merenung perkara ini dan beri jawapan awal untuk menangani permasalahan ini. Jangan mengulangi masalah yang pernah berlaku atau dialami oleh syarikat-syarikat gergasi besar yang lain.
"Productivity paradox belanja berbilion ringgit untuk menjamin produktiviti, ketelusan mengurangkan kerenah birokrasi, menghentikan amalan rasuah dan komisen kerana AI itu boleh mengawasi, tetapi hasilnya tidak ke mana," katanya.
Anwar juga menegaskan bahawa teknologi AI seperti ChatGPT tidak boleh dijadikan sumber mutlak, khususnya dalam hal agama kerana ia boleh mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata, terdapat sebuah pertubuhan Islam terkemuka di London yang menggunakan ChatGPT untuk menghasilkan teks menyerupai ayat al-Quran, namun ia bukan ayat sebenar.
"Apa pun harus ada semakan. Ayat al-Quran mesti dikenal pasti surah, hadis siapa (dan) perawinya. Itu latihan kita tentang kesahihan. Itu ChatGPT yang banyak anggap sumber sahih, selain sahih Bukhari dan Muslim. Itu bahaya," katanya.
Anwar berkata, meskipun transformasi digital sebagai tonggak perubahan dan kerajaan memperkenalkan AI untuk rakyat, selain mempunyai institusi AI tersendiri dan mengerahkan seluruh jentera kerajaan menguasai teknologi itu, namun perlu diberi perhatian tentang risiko "AI Productivity Paradox."
Berkongsi kenyataan Peter Drucker, Anwar berkata, pengurusan jabatan kerajaan yang cekap, jauh lebih baik daripada penswastaan dalam beberapa kriteria.
"Ada banyak penswastaan yang lebih banyak mendera, maknanya keuntungan itu berlipat ganda kepada syarikat yang diswastakan, apa lagi kalau penswastaan itu tidak telus dan tidak ikut proses tender (seperti) yang pernah berlaku dalam negara kita.
"Jadi syarikat-syarikat itu untung berbilion kemudian serah balik kepada kerajaan (contoh) Plus Highways, IWK (Indah Water Konsortium).
"Sebab itu prinsip tatakelola dan ketelusan tender itu sangat penting. Penswastaan itu tidak menunjukkan ada peningkatan dari segi produktiviti, kecekapan. Jadi dia bukan golden rule. Golden rule masih good governance (tadbir urus baik) prinsipnya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami