BEIJING: Kesatuan Eropah (EU) dan China bersetuju untuk mengurangkan eksport kereta hibrid China ke Eropah, kata Pesuruhjaya Perdagangan EU Maros Sefcovic pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Kami telah mencapai persefahaman bersama untuk menyederhanakan eksport kereta hibrid dan hibrid plug-in China ke Kesatuan Eropah," kata Sefcovic semasa lawatannya ke Beijing.
"Ini membuka ruang untuk mengurangkan eksport China lebih separuh," katanya selepas mengadakan rundingan selama dua hari dengan pegawai China termasuk Menteri Perdagangan Wang Wentao.
Di bawah persetujuan itu, eksport "beberapa juta kereta" ke EU dapat dielakkan, tambah pesuruhjaya EU itu.
Pengeluar kereta Eropah berdepan tekanan hebat akibat eksport besar-besaran kereta China pada harga berpatutan, yang turut bersaing dengan model Eropah dalam pasaran domestik China.
China dan EU turut bersetuju "untuk meningkatkan akses ke pasaran China bagi beberapa produk EU" menerusi pengurangan tarif, kata Sefcovic.
-- BERNAMA-dpa