EU salur bantuan banjir US$2.4 juta kepada Sri Lanka, Indonesia dan Thailand

Askar Tentera Sri Lanka memunggah bahan bantuan daripada helikopter untuk mangsa banjir susulan Taufan Ditwah di Niyamgamdora, Sri Lanka, 2 Dis 2025. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) telah menyalurkan EUR2.1 juta (US$2.4 juta) sebagai bantuan kecemasan bagi mangsa banjir di Sri Lanka, Indonesia dan Thailand, menurut Suruhanjaya Eropah pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Sebagai respons terhadap banjir dahsyat yang melanda Sri Lanka, Indonesia dan Thailand, EU telah menyalurkan EUR2.1 juta dalam bantuan kecemasan bagi kawasan yang paling terjejas.
"Pembiayaan ini bertujuan menyediakan bantuan penting kepada komuniti yang paling rentan," menurut kenyataan itu.
Sebanyak EUR1.5 juta akan menyokong usaha bantuan di Sri Lanka, termasuk EUR500,000 yang disalurkan melalui Tabung Kecemasan Tindak Balas Bencana Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, menurut kenyataan itu.
Tambahan EUR600,000 akan membantu rakan kemanusiaan di Indonesia dan Thailand, diagihkan sama rata antara kedua-dua negara, kata suruhanjaya itu.
Banjir teruk di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara pada November dan Disember tahun ini menyebabkan perpindahan besar-besaran serta kerosakan infrastruktur yang meluas, sekali gus membebankan ekonomi negara dan sistem tindak balas bencana.
Angka korban meningkat kepada 950 di Indonesia, melebihi 600 di Sri Lanka dan sekurang-kurangnya 276 di Thailand.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


