DUNIA

Eurovision berdepan boikot apabila beberapa negara tarik diri berikutan penyertaan Israel

Bernama 06/12/2025 | 20:15 MYT
Beberapa penyiar awam Eropah mengumumkan mereka akan menarik diri daripada Pertandingan Lagu Eurovision 2026 di Vienna selepas Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) memutuskan untuk tidak mengecualikan Israel daripada pertandingan berkenaan.
VIENNA: Beberapa penyiar awam Eropah mengumumkan mereka akan menarik diri daripada Pertandingan Lagu Eurovision 2026 di Vienna selepas Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) memutuskan untuk tidak mengecualikan Israel daripada pertandingan berkenaan, lapor Xinhua.

Penyiar milik kerajaan Sepanyol RTVE, penyiar Belanda AVROTROS, penyiar awam Ireland RTE dan penyiar nasional Slovenia RTVSLO berkata pada Khamis bahawa mereka tidak akan mengambil bahagian dalam acara pada 16 Mei 2026 itu, dengan merujuk kepada serangan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza.

Langkah itu diambil susulan kritikan semakin meningkat terhadap penyertaan Israel.

Pada Mei lepas, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa EBU mengharamkan penyertaan Israel selagi operasi ketenteraannya di Gaza berterusan.

RTVE, yang menyiarkan pertandingan 2025, dilaporkan diberi amaran oleh penganjur agar tidak menyebut operasi Israel semasa siaran akhir. Sebagai respons, RTVE memaparkan mesej di skrin sebelum siaran berbunyi: "Dalam menghadapi hak asasi manusia, berdiam diri bukan satu pilihan. Keamanan dan keadilan untuk Palestin."

AVROTROS pula berkata, pertandingan itu telah digunakan sebagai "alat politik" oleh Kerajaan Israel melalui kempen promosi yang menyokong penyertaan negara itu.

Pengurus Besarnya, Taco Zimmerman berkata, keputusan menarik diri itu "bukan satu keputusan mudah," tetapi "nilai sejagat seperti kemanusiaan dan kebebasan media telah dikompromi dengan serius."

Penyiar Ireland RTE berkata, penyertaan adalah "tidak dapat diterima" memandangkan "kehilangan nyawa yang dahsyat di Gaza" serta krisis kemanusiaan yang masih berterusan.

Slovenia turut mengesahkan penarikan diri pada Khamis.

Beberapa negara masih belum memuktamadkan keputusan.

Penyiar Iceland, RUV berkata, lembaganya akan bermesyuarat minggu depan bagi membuat keputusan akhir, sambil menambah bahawa pihaknya sebelum ini mencadangkan agar Israel dikecualikan.

Bagaimanapun, Jerman memberi amaran ia mungkin meninggalkan pertandingan itu jika Israel dilarang, manakala Austria selaku tuan rumah 2026 menyatakan sokongan terhadap penyertaan Israel.

Menteri Luar Austria, Beate Meinl-Reisinger mengalu-alukan keputusan EBU dalam satu hantaran di platform X.

Selepas mesyuarat di Geneva, EBU pada Khamis berkata, ia tidak akan mengadakan undian mengenai penyertaan Israel, sebaliknya meluluskan peraturan baharu untuk menghalang campur tangan kerajaan dalam pertandingan itu.

Eurovision, yang diasaskan pada 1956 untuk memupuk perpaduan pascaperang di Eropah, merupakan satu daripada acara televisyen paling lama bersiaran di dunia. AVROTROS dalam kenyataan terdahulu berkata, ia tidak dapat membenarkan penyertaan Israel memandangkan "penderitaan manusia yang berterusan dan serius di Gaza."

Sehingga kini, Semenanjung Gaza terus berdepan keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing.

Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Okt, hospital dan perkhidmatan penting masih lumpuh, dan majoriti dua juta penduduk enklaf itu masih menetap di khemah dan pusat perlindungan sementara tanpa sebarang tanda keadaan akan pulih.

-- BERNAMA


#Eurovision 2026 #boikot #penyertaan israel #Kesatuan Penyiaran Eropah