WASHINGTON: Syarikat minyak Amerika Syarikat (AS) ExxonMobil secara rasmi meninggalkan Rusia beberapa bulan selepas Moscow menamatkan perkhidmatannya termasuk membabitkan projek Sakhalin-1, kata jurucakap syarikat Meghan Macdonald kepada Sputnik.

"Saya mengesahkan bahawa kami telah meninggalkan Rusia berikutan perampasan hak milik (ekspropriasi).

"Menerusi dua dekri, kerajaan Rusia telah menamatkan kepentingan kami secara unilateral terhadap Sakhalin-1 dan projek itu telah diambil alih pengendali Rusia," kata Macdonald pada Isnin.

Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani dekri pada 5 Ogos yang secara khusus mengharamkan penjualan saham asing dalam syarikat strategik Rusia terutamanya dalam sektor tenaga, melainkan mendapat kebenaran kerajaan.

Exxon memiliki 30 peratus saham dalam projek minyak dan gas Sakhalin-1.

Pada Mac, syarikat itu mengumumkan hasratnya untuk menarik diri daripada projek itu dan mengisytiharkan force majeure pada April yang secara ketara mengurangkan pengeluaran minyak dan gas dalam projek itu.

Pada 3 Ogos, ExxonMobil mengumumkan bahawa pihaknya merancang untuk memindahkan operasinya terhadap projek itu kepada entiti yang dirahsiakan.

Pemegang saham projek Sakhalin-1 yang lain ialah Sodeco Jepun dengan pegangan 30 peratus, ONGC India dan Rosneft Rusia masing-masing 20 peratus.

-- BERNAMA