PENTADBIRAN Makanan dan Ubatan Amerika (FDA) merancang untuk meluluskan permohonan Pfizer Inc dan BioNTech SE untuk menyimpan vaksin COVID-19 mereka pada suhu sejuk beku standard, bukan dalam suhu terlampau sejuk, lapor New York Times pada Selasa.

FDA dijangka mengumumkan panduan baharu pada Selasa, mengubah suai dokumen yang berkaitan dengan kebenaran penggunaan kecemasan yang sebelumnya diberikan untuk vaksin tersebut.

Minggu lalu, syarikat tersebut meminta FDA selaku pengawal selia kesihatan AS untuk melonggarkan syarat agar vaksin COVID-19 mereka boleh disimpan pada suhu ultra rendah, memungkinkan ia disimpan dalam peti sejuk di farmasi.

Disember lepas, FDA memberikan kebenaran penggunaan kecemasan kepada vaksin dan label semasa untuk disimpan pada suhu antara -80ºC dan -60ºC (-112ºF hingga -76ºF), sekali gus bermaksud ia harus dihantar dalam bekas yang direka khas.

Pada Isnin, syarikat itu mengatakan bahawa pihaknya menjangkakan penghantaran lebih 13 juta dos vaksin setiap minggu ke Amerika Syarikat sebelum pertengahan Mac, lebih dua kali ganda penghantarannya pada awal Februari.

Buat masa ini, FDA enggan mengulas mengenai laporan itu, manakala Pfizer belum memberi sebarang respons ketika dihubungi Reuters.