DUNIA
The Fed kekalkan kadar faedah, Trump sifatkan Powell 'bodoh'

Trump mengkritik Fed kerana tidak menurunkan kadar, menyatakan kadar sepatutnya dua mata peratusan lebih rendah dan menyifatkan Powell sebagai 'bodoh'. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedah antara 4.25 hingga 4.5 peratus, sambil mengekalkan jangkaan dua penurunan kadar menjelang akhir tahun ini.
Melalui unjuran kadar faedah “dot plot”, The Fed menunjukkan dua penurunan kadar masih dirancang untuk 2025, namun satu penurunan bagi 2026 dan 2027 telah digugurkan.
Bagaimanapun, tujuh daripada 19 pegawai Fed tidak menjangkakan sebarang penurunan tahun ini.
Unjuran ekonomi menunjukkan pertumbuhan KDNK dijangka pada kadar 1.4 peratus dan inflasi mencecah 3 peratus pada 2025.Perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) teras dijangka meningkat kepada 3.1 peratus, manakala kadar pengangguran naik sedikit kepada 4.5 peratus.
Kenyataan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menyatakan ekonomi AS berkembang pada kadar 'kukuh' dengan pengangguran 'rendah' dan inflasi 'sedikit tinggi'. Fed turut menyatakan ketidaktentuan ekonomi telah berkurangan tetapi masih tinggi.
Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata pihaknya akan menunggu kejelasan lanjut sebelum membuat pelarasan dasar. Pasaran saham AS kekal mendatar selepas pengumuman tersebut.
Presiden Donald Trump mengkritik Fed kerana tidak menurunkan kadar, menyatakan kadar sepatutnya dua mata peratusan lebih rendah dan menyifatkan Powell sebagai 'bodoh'.
Fed berhati-hati terhadap kesan tarif terhadap inflasi, walaupun data semasa belum menunjukkan kesan ketara.
Powell menjangkakan inflasi akan meningkat kerana kos tarif perlu ditanggung oleh pengguna.
Ketegangan antara Israel dan Iran serta kemungkinan kenaikan harga tenaga turut menjadi faktor yang boleh mempengaruhi dasar Fed.
Data ekonomi menunjukkan tanda-tanda kelembapan, termasuk penurunan jualan runcit dan pasaran perumahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami