WASHINGTON: Syarikat logistik FedEx memfailkan saman terhadap kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi menuntut bayaran balik tarif yang dibayarnya di bawah undang-undang kuasa darurat selepas Mahkamah Agung membuat keputusan yang kerajaan menggunakan secara tidak sah untuk mengenakan duti, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam aduan yang difailkan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS di New York pada Isnin, FedEx menuntut “bayaran balik penuh” bagi semua tarif yang dikutip di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA). Saman itu menyasarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, yang merupakan sebahagian daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Advertisement
Presiden AS Donald Trump menggunakan IEEPA untuk mengenakan tarif ke atas puluhan rakan dagang tanpa kelulusan Kongres sejak permulaan penggal keduanya. Mahkamah Agung pada Jumaat memutuskan bahawa undang-undang itu tidak memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif secara unilateral.
Hakim tidak memutuskan sama ada kerajaan perlu membayar balik kepada pengimport, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada mahkamah lebih rendah.
Beberapa media AS menyifatkan tindakan FedEx sebagai saman korporat utama pertama oleh syarikat AS susulan keputusan itu. Kumpulan logistik berkenaan berhujah yang ia mengalami kerugian kerana membayar duti yang kini dianggap tidak sah.
Selepas keputusan mahkamah itu, pemerhati menjangkakan gelombang tuntutan bayaran balik. Menurut anggaran oleh University of Pennsylvania, jumlah bayaran balik berpotensi mencecah kira-kira US$175 bilion, bersamaan kira-kira 2.5 peratus daripada belanjawan persekutuan.
-- BERNAMA-DPA