ISLAMABAD: Fiji, sebuah negara di Pasifik Selatan mengisytiharkan wabak HIV sebagai krisis nasional selepas merekodkan 2,016 kes baharu tahun lepas, meningkat daripada 1,583 kes pada 2024, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
Menteri Kesihatan, Ratu Atonio Lalabalavu memberitahu, pemberita bahawa anggaran menunjukkan kira-kira seorang daripada setiap 60 orang dewasa di Fiji hidup dengan HIV, menurut laporan media tempatan Fijivillage News.
Beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan program pertukaran jarum dan picagari secara rasmi sebagai sebahagian daripada usaha menangani wabak yang semakin meningkat itu, selain memperluas ujian dan rawatan HIV, meningkatkan akses kepada ubat profilaksis prapendedahan atau PrEP serta kaedah pencegahan melalui suntikan jangka panjang.
Dengan peningkatan bilangan kes, beliau seterusnya berkata bahawa kelaziman HIV dalam kalangan wanita yang menghadiri rawatan antenatal telah mencapai sekitar dua peratus.
Kerajaan juga akan berusaha menyelesaikan isu kawal selia, melatih kakitangan, memastikan bekalan mencukupi serta memperkukuh penglibatan dengan komuniti, katanya.
Beliau berkata, Kabinet telah membentuk sebuah jawatankuasa dianggotai lima menteri untuk menangani isu-isu yang telah memperlahankan pelaksanaan, tambahnya.
-- BERNAMA-ANADOLU