Filipina berdepan lonjakan epidemik HIV paling membimbangkan di Asia Pasifik

Di Filipina, jangkitan HIV baharu meningkat enam kali ganda dari 2010 hingga 2024, dengan WHO menganggarkan peningkatan 550 peratus daripada 4,400 kes pada 2010 kepada 29,600 pada 2024. - Reuters
MANILA: Filipina kini berdepan epidemik virus kurang daya tahan manusia (HIV) yang meningkat paling cepat di rantau Asia Pasifik, dengan purata 61 rakyat negara itu disahkan menghidap HIV setiap hari tahun ini, naik 22 peratus berbanding tahun lepas, sekali gus mencetuskan desakan mendesak untuk tindakan nasional yang lebih tegas, lapor Xinhua.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengenal pasti Filipina, Fiji dan Papua New Guinea sebagai negara di rantau itu yang terus mencatat peningkatan jangkitan HIV. WHO berkata ketiga-tiganya kini berdepan lonjakan baharu jangkitan HIV yang paling ketara di rantau berkenaan.
Fiji merekodkan peningkatan kes sebanyak 10 kali ganda dalam tempoh sedekad, didorong terutamanya oleh penggunaan dadah suntikan, manakala Papua New Guinea mengisytiharkan HIV sebagai krisis nasional pada Jun susulan peningkatan kes dalam kalangan wanita usia reproduktif dan kanak-kanak.
Di Filipina, jangkitan HIV baharu meningkat enam kali ganda dari 2010 hingga 2024, dengan WHO menganggarkan peningkatan 550 peratus daripada 4,400 kes pada 2010 kepada 29,600 pada 2024. Lelaki muda yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki terus menjadi kumpulan paling terjejas.
Menurut data Jabatan Kesihatan Filipina, sejumlah 149,375 individu telah didaftarkan sebagai penghidap HIV setakat September, termasuk 5,583 kes baharu yang dikesan antara Julai hingga September. Daripada jumlah itu, 895 berada pada tahap jangkitan lanjut. Majoriti pesakit baharu (95 peratus) ialah lelaki, dan satu pertiga berusia antara 15 hingga 24 tahun.
Kes pada 2025 melibatkan pesakit berusia antara satu hingga 73 tahun, dengan usia median 27 tahun. Individu berusia 15 hingga 34 tahun menyumbang lebih 70 peratus jangkitan baharu, menggambarkan peralihan ketara kepada kumpulan umur lebih muda.
Dianggarkan 252,800 rakyat Filipina akan hidup dengan HIV pada 2025.
Pengesan kes bulanan terus meningkat, daripada purata 1,435 kes pada 2023 kepada 1,459 pada 2024, dan meningkat lagi kepada 1,731 pada suku ketiga 2025, iaitu 17 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas. Dari Julai hingga September, 61 peratus kes baharu dikesan di Metro Manila serta wilayah sekitar Calabarzon, Luzon Tengah, Visayas Tengah dan Davao di selatan Filipina.
Sejak 1984, ketika kes pertama HIV direkodkan di negara itu, lelaki mewakili 94 peratus daripada semua kes yang dilaporkan. Jangkitan semakin beralih kepada kumpulan lebih muda, dengan kes dalam kalangan individu bawah 15 tahun meningkat 129 peratus dalam tempoh lima tahun lepas dan mereka berusia 15 hingga 24 tahun meningkat 106 peratus.
Hubungan seksual kekal sebagai mod penularan utama, merangkumi 96 peratus daripada semua kes yang direkodkan sejak 1984. Daripada jumlah itu, hubungan seksual lelaki dengan lelaki mewakili majoriti, satu corak yang berterusan hingga suku ketiga 2025.
Walaupun peratusan pesakit yang hadir pada tahap jangkitan HIV lanjut menurun sejak 2021, jumlah kematian keseluruhan terus meningkat.
Dari Julai hingga September 2025, sebanyak 125 kematian dilaporkan, kebanyakannya melibatkan individu berusia 25 hingga 34 tahun. Secara kumulatif, negara itu merekodkan lebih 500 kematian setiap tahun sejak 2016, dengan keseluruhan 9,903 kematian sejak 1984.
Pekerja migran merangkumi tujuh peratus daripada semua kes yang didiagnosis, hampir kesemuanya berpunca daripada penularan seksual. Laporan berkaitan seks transaksi sejak 2012 merekodkan 17,577 kes, majoritinya melibatkan lelaki.
Para penggiat kesihatan awam menggesa perluasan ujian, pendidikan berfokus kepada belia, pengukuhan intervensi komuniti serta sokongan lebih besar terhadap pematuhan rawatan dan program pengekangan virus.
Pakar memberi amaran bahawa tanpa tindakan tegas dan bersepadu, Filipina berisiko kehilangan kawalan dalam usaha memerangi HIV, sekali gus menjejaskan kesihatan dan masa depan seluruh generasi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


