SEOUL: Sebuah mahkamah rayuan pada Selasa mengekalkan pembebasan seorang bekas pegawai kanan presiden dan bekas ketua pengawal pantai berhubung dakwaan menutup kes pembunuhan seorang pegawai perikanan Korea Selatan oleh Korea Utara pada 2020, lapor Agensi Berita Yonhap.
Mahkamah Tinggi Seoul mendapati bekas Penasihat Keselamatan Negara Suh Hoon dan bekas Pesuruhjaya Jeneral Pengawal Pantai, Kim Hong-hee tidak bersalah atas pertuduhan merangka dokumen awam palsu berkaitan dakwaan penutupan kes berkenaan.
Pada September 2020, pegawai perikanan terbabit, Lee Dae-jun, maut ditembak oleh tentera Korea Utara berhampiran sempadan maritim de facto di Laut Kuning selepas dilaporkan hilang semasa berada di atas kapal pemeriksaan perikanan. Mayatnya kemudian dibakar oleh tentera Korea Utara.
Pada masa itu, pentadbiran Presiden Moon Jae-in menyatakan bahawa Lee cuba berpaling tadah ke Korea Utara, namun pihak pendakwaan berhujah bahawa dokumen awam itu didorong oleh kebimbangan bahawa insiden berkenaan boleh memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua negara Korea.
Dalam keputusannya, mahkamah rayuan berkata walaupun pengumuman pentadbiran Moon mengandungi bahasa yang "terburu-buru" atau "muktamad", ia tidak boleh dilihat sebagai merangka atau menyebarkan "maklumat palsu yang tidak mengikut kebenaran."
Disember lepas, Mahkamah Daerah Pusat Seoul membebaskan kedua-dua lelaki itu bersama tiga lagi bekas pegawai kanan keselamatan atas pertuduhan terlibat dalam dakwaan menyembunyikan kes tersebut. Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Pihak pendakwaan menuduh Suh mengarahkan Pengawal Pantai untuk mengedarkan kenyataan media yang mengandungi maklumat palsu kononnya operasi mencari Lee sedang dijalankan sedangkan kematiannya disembunyikan, selain laporan untuk menggambarkan kehilangan Lee sebagai satu tindakan berpaling tadah.
Mereka mendakwa Kim mengikut arahan tersebut dan menyebarkan maklumat palsu mengenai kemungkinan tindakan berpaling tadah oleh mangsa.
Selepas keputusan itu, Suh mengkritik pihak pendakwaan dan memberitahu wartawan bahawa kes mahkamah terhadap dirinya adalah "dirancang secara politik dan direka-reka."
Sementara itu, abang kepada mendiang pegawai perikanan tersebut mengecam keputusan berkenaan dan menyifatkan barisan hakim serta kerajaan telah membelakangkan rakyat.
-- BERNAMA-YONHAP