Filipina tawar ganjaran AS$160,000 untuk bantuan tangkap taikun perjudian

Remulla berkata, sebarang maklumat yang membawa kepada penahanan muktamad Atong Ang akan layak menerima ganjaran 10 juta peso. - Gambar Facebook Jonvic Remulla
MOSCOW: Filipina menawarkan ganjaran sebanyak 10 juta peso (AS$168,000) bagi maklumat yang membawa kepada penahanan taikun perjudian terkenal, Atong Ang yang dituduh terbabit dalam kes pembunuhan dan penculikan peminat sabung ayam, kata Setiausaha Dalam Negeri, Jonvic Remulla, pada Khamis.
Ringkasan AI
- Filipina menawarkan ganjaran sebanyak 10 juta peso bagi maklumat yang membawa kepada penahanan taikun perjudian terkenal Atong Ang yang dituduh terlibat dalam kes pembunuhan dan penculikan peminat sabung ayam, menurut Setiausaha Dalam Negeri Jonvic Remulla.
- Atong Ang disifatkan sebagai "bersenjata dan berbahaya", dilabel sebagai "penjenayah paling dikehendaki di Filipina" oleh kerajaan, serta digalakkan untuk menyerah diri dengan jaminan akan diperlakukan dengan hormat.
- Atong Ang, yang merupakan ahli perniagaan besar Filipina dalam industri perjudian dan pemilik platform sabung ayam terbesar, diwartakan atas dakwaan kesalahan penculikan, penahanan secara haram dan pembunuhan, dengan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya dan 18 individu lain oleh mahkamah di Filipina.
"Serah diri sekarang secara aman dan kami akan melayan anda dengan hormat. Jika anda menjadi buruan undang-undang, kami akan melayan anda sebagai seorang pelarian," katanya.
Ang, seorang ahli perniagaan besar Filipina, mengumpul kekayaannya dalam industri perjudian dan memiliki antara platform sabung ayam terbesar.
Disember lalu, Jabatan Kehakiman Filipina berkata, terdapat bukti mencukupi untuk mendakwanya atas kesalahan penculikan, penahanan secara haram dan pembunuhan.
Pada 14 Jan, sebuah mahkamah di bandar Santa Cruz, Filipina, mengeluarkan waran tangkap terhadap Ang dan 18 individu lain, sekurang-kurangnya lima daripadanya adalah anggota polis Filipina.
Pada hari yang sama, 17 rakan subahat taikun itu ditangkap dan ditahan.
Peguam Ang mencabar perintah penangkapan itu dengan menyifatkannya sebagai "terlalu awal" dan "diragui dari segi undang-undang."
Ini bukan kali pertama taikun Filipina itu berdepan masalah undang-undang.
Pada 2001, dia terlibat dalam kes penyelewengan dana kerajaan dan melarikan diri ke Amerika Syarikat, sebelum ditahan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) susulan permintaan ekstradisi dari Filipina.
Selepas lima tahun dalam tahanan, Ang dihantar pulang ke negara asalnya, mengaku bersalah, menjalani baki kira-kira dua tahun hukuman penjara dan dibebaskan pada 2009.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


