DUNIA
Flotila bantuan ke Gaza kini kurang 620 batu dari destinasi

Sebahagian kapal yang menyertai Global Sumud Flotilla meninggalkan pelabuhan Barcelona di Sepanyol, 31 Ogos 2025. - Gambar fail/REUTERS
RABAT: Flotila bantuan menuju ke Gaza memaklumkan pada Khamis yang mereka kini berada kurang 1,000 kilometer (621 batu) dari enklaf Palestin itu ketika misi mereka untuk mencabar sekatan jangka panjang Israel diteruskan, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami hanya tinggal 995 km (618 batu) dari Gaza. Hati kami sudah berada di sana sebelum kapal kami sampai. Kami belayar dengan tekad untuk memecahkan kepungan," menurut cawangan Maghreb konvoi itu dalam satu hantaran di laman sosial Facebook.
Kemas kini itu dibuat sehari selepas penganjur melaporkan berlaku 12 letupan ke atas sembilan kapal susulan gangguan dron di perairan antarabangsa.
Flotila itu tidak mendedahkan pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan, manakala Israel, yang berulang kali memberi amaran ia akan menghalang misi itu, dilihat berdiam diri setakat ini.Abdelhaq Benqadi, wakil Kesatuan Peguam Arab yang turut serta dalam misi itu berkata pasukan perundangan sedang bersiap sedia untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dengan menuduh Israel melakukan "jenayah perang di laut".
Flotila yang terdiri daripada hampir 50 kapal yang membawa bekalan kemanusiaan termasuk bantuan perubatan itu membawa lebih daripada 500 aktivis dari seluruh dunia.
Penganjur menyatakan ini adalah cubaan terbesar seumpamanya dalam hampir dua dekad, dengan 2.4 juta penduduk Gaza yang hidup di bawah sekatan Israel selama 18 tahun.
Penyiasat PBB baru-baru ini menyimpulkan bahawa Israel sedang melakukan jenayah genosid di Gaza, dengan lebih 65,400 orang terbunuh sejak Oktober 2023.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami