Forum Doha 2025 berakhir dengan cabaran global dominasi agenda

Forum tersebut membincangkan isu-isu geopolitik, kemanusiaan, ekonomi, dan teknologi yang mendesak di peringkat global. - Foto REUTERS
DOHA: Edisi ke-23 Forum Doha berakhir pada Ahad di ibu negara Qatar selepas dua hari sesi perbincangan peringkat tinggi yang menghimpunkan lebih 6,000 peserta dari lebih 150 negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Edisi ke-23 Forum Doha berakhir selepas dua hari perbincangan peringkat tinggi yang menyaksikan lebih 6,000 peserta dari 150 negara berkumpul di Qatar.
- Forum tersebut membincangkan isu-isu geopolitik, kemanusiaan, ekonomi, dan teknologi yang mendesak di peringkat global.
- Pengerusi Qatar Foundation menegaskan keadilan perlu diamalkan sebagai nilai sejagat dan bukannya sekadar slogan kosong.
Dalam ucapan penutup, Pengerusi Qatar Foundation, Sheikha Moza bint Nasser - yang juga ibu kepada Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani - menegaskan bahawa keadilan ialah nilai yang perlu diamalkan, bukan sekadar slogan.
"Keadilan pada asasnya ialah kepercayaan, budaya dan amalan yang berakar dalam realiti. Keadilan mesti dirasai dan dialami, bukan digunakan sebagai slogan retorik. Slogan-slogan itu hanyalah janji kosong dan komitmen palsu yang sengaja tidak ditunaikan," katanya.
"Sistem antarabangsa dicemari oleh ketiadaan prinsip keadilan ketika kejadian ketidakadilan semakin berleluasa di seluruh dunia - ketidakadilan yang jelas kelihatan tetapi sengaja diabaikan," tegasnya.
"Seruan kepada keadilan merupakan keperluan manusia sejagat. Keadilan penting agar golongan rentan merasakan perlindungan daripada golongan berkuasa, dan sama penting untuk memelihara integriti hubungan antarabangsa - memastikan tiada negara menzalimi negara lain berasaskan kekuatannya," tambahnya.
Acara dua hari itu menghimpunkan pemimpin global termasuk Presiden Syria Ahmad Al-Sharaa, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan, Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Forum Ekonomi Dunia Borge Brende, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton, serta pengasas bersama Microsoft dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bill Gates.
Anadolu merupakan rakan komunikasi global acara tersebut.
Program Forum 2025, yang dibangunkan bersama pusat kajian dan institusi penyelidikan antarabangsa, menampilkan banyak sesi perbincangan termasuk Mengimbangi Semula Tanggungjawab Global dan Laluan ke Arah Keamanan di Gaza, Hubungan Teluk-EU dalam Era Pengasingan Strategik, AI: Antara Manfaat dan Ancaman: Strategi untuk Penggunaan Bertanggungjawab dalam Domain Ketenteraan, serta Hubungan AS-China: Mengemudi Risiko dan Peluang dalam Tertib Global yang Berubah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


