Gangguan global: Amazon Web Services masih berusaha pulihkan operasi

AWS memaklumkan, “masih memantau proses pemulihan di semua perkhidmatan AWS”, namun sebahagian pengguna dijangka terus berdepan gangguan selepas insiden besar yang menjejaskan sambungan internet global.- Gambar Reuters
SEATTLE: Amazon Web Services (AWS) masih berusaha memulihkan operasinya selepas gangguan besar pada perkhidmatan awan syarikat itu menyebabkan ribuan laman web dan aplikasi utama di seluruh dunia lumpuh.
Dalam kemas kini di laman status rasminya pada Isnin, AWS memaklumkan, “masih memantau proses pemulihan di semua perkhidmatan AWS”, namun sebahagian pengguna dijangka terus berdepan gangguan selepas insiden besar yang menjejaskan sambungan internet global.
Antara platform popular yang terkesan termasuk Zoom, Roblox, Fortnite, Duolingo, Canva dan Wordle.
Laman pengesan gangguan, Downdetector, melaporkan lebih 11 juta aduan masalah capaian di seluruh dunia sejak gangguan bermula, melibatkan ratusan syarikat.Walaupun beberapa laman dan aplikasi seperti Reddit serta Xfinity dilihat kembali stabil, sebahagian perkhidmatan termasuk milik Amazon sendiri mengalami gangguan semula selepas pulih sementara.
AWS merupakan pembekal utama perkhidmatan pengkomputeran awan, penyimpanan data dan infrastruktur digital kepada syarikat, kerajaan serta individu.
Sebarang gangguan pada pelayannya boleh menjejaskan operasi banyak platform yang bergantung kepada sistem tersebut.
Amazon menjelaskan, masalah berpunca daripada rangkaian dalaman EC2, dan bukan akibat serangan siber.
Ketua Pegawai Eksekutif firma pemantauan prestasi internet Catchpoint, Mehdi Daoudi memberitahu CNN bahawa kesan kewangan daripada gangguan ini masih belum dapat dianggarkan, namun dijangka mencecah ratusan bilion dolar.
“Insiden ini menunjukkan betapa kompleks dan rapuhnya struktur internet dunia. Hampir setiap aspek pekerjaan dan operasi kini bergantung sepenuhnya kepada sambungan dalam talian,” katanya.
“Kerugian produktiviti berjuta-juta pekerja yang tidak dapat melaksanakan tugas, serta operasi perniagaan yang tergendala - daripada syarikat penerbangan hingga kilang boleh menyebabkan impak kewangan yang sangat besar,” tambahnya.
Antara platform lain yang turut terjejas termasuk aplikasi mesej Signal, bursa mata wang kripto Coinbase, aplikasi pelaburan Robinhood serta syarikat kecerdasan buatan Perplexity.
Gangguan perkhidmatan AWS turut mengundang kebimbangan berhubung tahap kebergantungan dunia terhadap beberapa penyedia awan gergasi.
Menurut laporan industri, AWS menguasai 30 peratus pasaran global, diikuti Microsoft (20 peratus) dan Google (13 peratus).
Ketua isu digital bagi kumpulan kebebasan bersuara Article 19, Corinne Cath-Speth, menyifatkan gangguan ini bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya menggugat demokrasi digital.
“Apabila satu penyedia tunggal terjejas, seluruh ekosistem digital turut lumpuh - media tidak dapat diakses, aplikasi komunikasi selamat seperti Signal berhenti berfungsi, dan infrastruktur masyarakat digital runtuh bersamanya,” katanya.
“Kita perlukan kepelbagaian dalam pengkomputeran awan. Infrastruktur yang menjadi asas kepada wacana demokratik, kewartawanan bebas dan komunikasi selamat tidak seharusnya bergantung pada segelintir syarikat sahaja,” tegasnya.
Selain laman web Amazon, Prime Video, Alexa dan aplikasi Lyft turut dilaporkan mengalami gangguan, manakala beberapa bank di United Kingdom turut terkesan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami