LONDON: Ratusan penerbangan di beberapa lapangan terbang utama United Kingdom (UK) berdepan gangguan pada Selasa susulan masalah teknikal yang menjejaskan sistem penyedia perkhidmatan kawalan trafik udara negara itu, NATS.
Insiden terbaharu itu mencetuskan semula kebimbangan terhadap kebolehpercayaan infrastruktur penerbangan Britain, tiga tahun selepas kegagalan sistem pemprosesan pelan penerbangan menyebabkan gangguan lebih besar di seluruh negara.
Ketika ribuan penumpang menunggu perkembangan terkini di balai berlepas lapangan terbang, syarikat penerbangan mempersoalkan sama ada sistem kawalan trafik udara UK masih mampu memenuhi keperluan operasi penerbangan moden.
NATS memaklumkan masalah yang menjejaskan sistem pemprosesan data penerbangannya telah berjaya diselesaikan pada malam Selasa waktu tempatan.
Menurut penyedia perkhidmatan itu, keselamatan penerbangan tidak pernah terjejas sepanjang tempoh gangguan berkenaan.
"Pemulihan daripada isu sistem hari ini mengambil masa lebih lama daripada yang kami jangkakan. Sistem kini kembali beroperasi seperti biasa dan kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesesakan serta menyelesaikan tunggakan penerbangan," kata NATS dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, NATS mengakui proses pemulihan penuh memerlukan masa memandangkan gangguan itu memberi kesan kepada keseluruhan rangkaian penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif NATS, Martin Rolfe, berkata siasatan terperinci masih dijalankan dan punca sebenar masalah teknikal itu belum dikenal pasti.
"Kami masih belum mengetahui dengan tepat apa yang menyebabkan gangguan ini berlaku," katanya.
Hampir 1,000 penerbangan terjejas
Gangguan tersebut menjejaskan hampir 1,000 penerbangan termasuk perkhidmatan ke dan dari Lapangan Terbang Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di UK.
Pihak Heathrow memaklumkan ketibaan penerbangan ke lapangan terbang itu digantung sehingga penghujung operasi hari berkenaan, manakala penerbangan berlepas hanya disambung semula secara berperingkat.
Data platform penjejakan penerbangan FlightAware menunjukkan kira-kira 490 penerbangan berlepas mengalami kelewatan di enam lapangan terbang utama, termasuk Heathrow, Gatwick, London City, Luton, Edinburgh dan Bristol.
Pada masa sama, sebanyak 525 penerbangan ketibaan direkodkan sama ada dibatalkan atau mengalami kelewatan.
Syarikat analitik penerbangan Cirium pula melaporkan 38 daripada 661 penerbangan ketibaan yang dijadualkan di Heathrow dibatalkan atau gagal beroperasi.
British Airways menjadi syarikat penerbangan paling terkesan apabila membatalkan 16 daripada 333 penerbangan berlepas yang dijadualkan.
Menurut syarikat itu, impak gangguan berkenaan dijangka memberi kesan besar kepada penumpang serta kakitangan operasi.
Kesan besar kepada rangkaian penerbangan Eropah
Penganalisis penerbangan, John Strickland berkata, walaupun tempoh gangguan hanya berlaku selama beberapa jam, kesannya boleh merebak dengan pantas dalam sistem penerbangan Eropah yang beroperasi mengikut jadual ketat.
Katanya, kelewatan di satu lapangan terbang boleh mencetuskan gangguan berantai kepada beratus-ratus penerbangan lain di seluruh rangkaian.
Syarikat penerbangan tambang rendah Ryanair memaklumkan kira-kira 150,000 penumpangnya terjejas akibat kelewatan sehingga lapan jam dan lebih 200 penerbangan terpaksa dibatalkan.
Malah, syarikat itu menggesa Ketua Pegawai Eksekutif NATS meletakkan jawatan susulan siri kegagalan sistem yang berulang.
Dalam kenyataan berasingan, Wizz Air turut mendesak reformasi segera terhadap sistem kawalan trafik udara UK dengan menyifatkan syarikat penerbangan, lapangan terbang dan penumpang tidak seharusnya terus menanggung kesan daripada kegagalan sistem yang berulang kali berlaku.
Pengawal selia penerbangan Britain, Civil Aviation Authority (CAA), memaklumkan pihaknya akan meneliti laporan penuh insiden tersebut sebelum memutuskan sama ada tindakan lanjut perlu diambil bagi menjamin kebolehpercayaan sistem kawalan trafik udara negara itu.
Insiden terbaharu ini bukan kali pertama berlaku. Pada 2023, kegagalan sistem pemprosesan automatik pelan penerbangan mencetuskan kekecohan besar di lapangan terbang seluruh UK, manakala masalah teknikal berkaitan radar pada Julai tahun lalu turut mengganggu operasi penerbangan selama lebih empat jam di beberapa lapangan terbang utama termasuk Heathrow.
Provide your feedback on BizChat