Skip to main content

Dunia

Pencemaran minyak daripada kapal tangki rosak akibat perang jejas pantai UAE

Kapal tangki dilihat di persisiran pantai UAE. - Gambar hiasan/AP
Kapal tangki dilihat di persisiran pantai UAE. - Gambar hiasan/AP

Advertisement

KAHERAH: Beberapa pantai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ditutup akibat pencemaran minyak yang dipercayai berpunca daripada serangan ke atas sebuah kapal tangki semasa perang melibatkan Iran, menurut Kementerian Alam Sekitar pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pantai yang terjejas terletak di emiriah Sharjah, Umm Al Quwain dan Ras Al Khaimah, berhampiran Dubai.

Kementerian memaklumkan pencemaran itu berpunca daripada kebocoran kapal tangki minyak dan usaha sedang dijalankan untuk mengawal tumpahan serta membersihkan kawasan yang terjejas.

Penduduk di Sharjah, yang bersempadan dengan Dubai, melaporkan bau petrol atau gas yang kuat berlarutan selama beberapa hari. Kementerian berkata pihaknya sedang menyiasat bau berkenaan namun menegaskan tiada risiko kesihatan.

Menurut Wim Zwijnenburg, penyelidik yang pakar dalam isu konflik dan alam sekitar di pertubuhan keamanan Belanda, PAX, minyak itu berpunca daripada kapal tangki berbendera Panama, Gem No 2, yang dimiliki oleh sebuah syarikat berpangkalan di Taiwan. 

Kapal tangki sepanjang 330 meter itu mula mengalami kebocoran minyak selepas diserang dua minggu lepas, kata Zwijnenburg kepada dpa. Tumpahan minyak yang terhasil kini merebak kira-kira 90 kilometer.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim UK (UKMTO) melaporkan serangan berkenaan dua minggu lepas, dengan menyatakan satu projektil telah menghentam kapal itu dan mencetuskan kebakaran di atas kapal.

Perairan yang terjejas merupakan habitat kepada pelbagai hidupan laut termasuk dugong, lumba-lumba dan penyu.

Terumbu karang, pokok bakau dan padang rumput laut juga menyediakan habitat penting serta kawasan mencari makan bagi pelbagai spesies burung dan hidupan marin.

Pencemaran minyak di rantau Teluk meningkat dengan ketara sejak perang melibatkan Iran bermula pada Februari.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement