DUNIA
“Gaza sedang mati dan kami mati bersamanya” : Al Jazeera rayu selamatkan wartawan yang kebuluran

Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang Israel di Gaza bergerak ke utara dalam usaha untuk kembali ke kediaman mereka. - Gambar Reuters
KUALA LUMPUR: Al Jazeera Media Network telah membuat seruan mendesak kepada komuniti kewartawanan, pertubuhan kebebasan akhbar, dan badan undang-undang berkaitan untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kebuluran paksa dan jenayah terhadap wartawan serta pengamal media di Gaza.
Al Jazeera menegaskan, nasib wartawan di Gaza telah mencapai tahap kritikal, dengan ramai daripada mereka mempertaruhkan nyawa dalam keadaan kebuluran dan menjadi sasaran serangan.
Ketua Pengarahnya, Dr Mostefa Souag berkata, komuniti antarabangsa mesti bertindak segera untuk mengakhiri penderitaan yang ditanggung oleh wartawan di kawasan terkepung itu.
"Kita berhutang kepada wartawan berani di Gaza untuk mengangkat suara mereka dan menamatkan penderitaan yang tidak tertanggung akibat kebuluran paksa dan pembunuhan bersasar oleh pasukan pendudukan Israel."Komuniti kewartawanan dan dunia menanggung tanggungjawab yang besar; adalah menjadi tugas kita untuk menyuarakan dan menggerakkan segala cara yang ada untuk menyokong rakan-rakan kita dalam profesi mulia ini.
"Jika kita gagal bertindak sekarang, kita berdepan risiko masa depan tanpa sesiapa lagi untuk menyampaikan kebenaran. Kegagalan kita akan tercatat dalam sejarah sebagai kegagalan besar melindungi wartawan dan pengkhianatan terhadap prinsip kewartawanan yang kita junjung," katanya.
Selama lebih 21 bulan, pengeboman Israel dan kebuluran sistematik terhadap hampir dua juta penduduk di Gaza telah mendorong seluruh populasi ke ambang kehancuran.
Al Jazeera berkata, wartawan yang selama ini melaporkan peristiwa genosid secara berani kini terpaksa berjuang demi kelangsungan hidup sendiri.
Pada 19 Julai, wartawan Al Jazeera mula memuat naik mesej-mesej menyayat hati di media sosial, menandakan bahawa kapasiti mereka untuk meneruskan tugasan semakin berkurangan.
Wartawan saluran Al Jazeera Arabic di Gaza, Anas AlShariff berkata: "Saya tidak berhenti membuat liputan walau seketika dalam 21 bulan dan hari ini, saya katakan secara terang-terangan... dan dengan kesakitan yang tidak dapat digambarkan. Saya lemas dalam kelaparan, menggigil keletihan dan menahan pengsan yang mengekori saya setiap saat... Gaza sedang mati. Dan kami mati bersamanya."
Meskipun berdepan ancaman dan tekanan, Al Jazeera menegaskan, wartawannya enggan tunduk kepada taktik intimidasi yang bertujuan membungkam laporan mereka, sambil memberi amaran bahawa tindakan itu akan menyebabkan hampir keseluruhan kekejaman di Gaza tidak lagi dilaporkan kepada dunia.
Rangkaian itu turut menggesa pertubuhan antarabangsa supaya mengambil tindakan segera bagi menghentikan kebuluran paksa yang turut menimpa para wartawan - penyampai kebenaran.
Sejak Oktober 2023, pasukan pendudukan Israel telah membunuh lima wartawan Al Jazeera, iaitu Samer Abudaqqa, Hamza AlDahdouh, Ismael Al-Ghoul, Ahmed Al-Louh, dan Hossam Shabat, selain beberapa ahli keluarga serta pengamal media lain.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami