INTERNATIONAL
Gaza "tempat paling bahaya" di dunia untuk petugas bantuan - Setiausaha Luar UK

Rakyat Palestin beratur untuk mendapatkan bantuan tepung yang diagihkan oleh UNRWA. - Foto AP
LONDON: Setiausaha Luar Britain menekankan keadaan berbahaya yang dihadapi petugas bantuan di Gaza dan menyifatkannya sebagai "tempat paling bahaya di dunia" bagi mereka yang memberikan bantuan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi.
Kenyataan David Lammy pada Selasa dibuat di tengah-tengah konflik berterusan di wilayah itu, yang menyaksikan lebih 400 petugas bantuan terbunuh akibat serangan Israel sejak krisis semasa bermula.
Ketika sesi di Dewan Rakyat, Lammy berkata beliau telah mendesak Menteri Luar Israel Gideon Sa'ar bulan lepas supaya mempercepatkan siasatan oleh pihak tentera berhubung serangan ke atas konvoi World Central Kitchen pada April tahun lepas yang mengorbankan beberapa petugas bantuan.
Beliau menegaskan kepentingan memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dan keadilan ditegakkan untuk mangsa."Kita perlu melihat penambahbaikan keselamatan yang berkekalan untuk petugas bantuan di lapangan, dan itu akan menjadi legasi bermakna buat individu British yang telah terkorban," katanya.
Pada 1 April tahun lepas, serangan dron Israel membunuh tujuh petugas bantuan World Central Kitchen - tiga warganegara Britain, seorang warga Australia, seorang warga Poland, seorang warga dwi kerakyatan Amerika Syarikat-Kanada, serta seorang rakyat Palestin.
Serangan itu mencetuskan kecaman hebat di peringkat antarabangsa serta gesaan untuk tindakan akauntabiliti, dengan ramai pihak termasuk pengasas World Central Kitchen, Jose Andres, mempertikaikan dakwaan Israel bahawa serangan itu adalah satu "kesilapan" dan berpunca daripada "kesilapan pengecaman."
Pasukan Israel melancarkan kempen serangan udara mengejut di Gaza pada 18 Mac dan sejak itu telah mengorbankan lebih 1,000 orang serta mencederakan lebih 2,000 yang lain, sekali gus menggugat perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dimeterai pada Januari antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Lebih 50,300 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami