Gaza terima jenazah 45 rakyat Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata

Mayat rakyat Palestin yang tidak dikenali, dipulangkan dari Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, dibawa ke Hospital Nasser di Khan Younis, Semenanjung Gaza. - Foto AP
GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza pada Isnin memaklumkan yang pihaknya menerima jenazah 45 rakyat Palestin yang diserahkan oleh Israel melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), menjadikan jumlah keseluruhan jenazah yang diserahkan kini seramai 270 di bawah perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan Gaza menerima 45 jenazah Palestin dari Israel melalui ICRC, menjadikan jumlah keseluruhan jenazah yang diserahkan kini seramai 270 di bawah perjanjian gencatan senjata.
- Pasukan forensik mengenal pasti 78 jenazah dengan tanda penderaan sebelum proses dokumentasi dan penyerahan kepada keluarga dilakukan mengikut prosedur perubatan yang diluluskan.
- Israel menahan 735 jenazah Palestin sebelum gencatan senjata, mengakibatkan kesukaran keluarga mengenal pasti jenazah yang dipulangkan tanpa identiti, disebabkan oleh sekatan Israel yang menyukarkan operasi forensik di Gaza.
Penyerahan itu sebahagian fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Okt lalu.
Perjanjian merangkumi pertukaran tahanan dan mayat antara Israel dan Hamas, yang diuruskan oleh Turkiye, Mesir dan Qatar dengan penyeliaan Amerika Syarikat.
Keluarga mangsa mengenal pasti jenazah ahli keluarga mereka yang dipulangkan tanpa nama melalui tanda fizikal atau pakaian, berikutan kemudahan forensik di Gaza tidak dapat beroperasi akibat sekatan Israel yang berlarutan selama bertahun-tahun selain akibat kemusnahan makmal.
Sebelum gencatan senjata itu, Israel dilaporkan menahan 735 jenazah rakyat Palestin di kawasan yang dikenali sebagai "tanah perkuburan bernombor", menurut Kempen Nasional Palestin bagi Mengembalikan Jenazah Syuhada.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza mengorbankan lebih 68,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,600 yang lain.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

