DUNIA
Gempa Afghanistan: Bentuk muka bumi, gegaran susulan cabaran getir misi bantuan

Struktur keluarga besar yang biasa tinggal bersama dalam satu kawasan menyebabkan ramai terkorban serentak. - Foto Reuters
“ADA mangsa yang kehilangan seluruh keluarga. Ada juga anak kecil yang duduk sendirian di penjuru, terpinga-pinga selepas kehilangan ibu bapa.”
Ringkasan AI
- Sukarelawan Malaysia, Lila Ruzaini, berkongsi kesukaran menyalurkan bantuan ke kawasan pergunungan Kunar akibat jalan runtuh, laluan sempit dan gegaran susulan.
- Ramai mangsa kehilangan keluarga, lapar dan trauma; bantuan segera diperlukan termasuk makanan, air bersih, ubat-ubatan dan khemah.
- Lila menyeru bantuan jangka panjang kerana ratusan pusat kesihatan ditutup, menegaskan persepsi negatif terhadap keselamatan Afghanistan perlu dihentikan agar bantuan tidak terhalang.
“Dalam perjalanan, jika ada runtuhan batu, kami terpaksa berhenti dan bersihkan laluan. Jalannya pula sempit dan curam.
"Bayangkan laluan sehala di Malaysia tetapi di sini dijadikan dua hala. Lori besar yang membawa bekalan pun terpaksa melaluinya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Keadaan lebih mencabar apabila gegaran susulan terus berlaku, menyebabkan runtuhan dan meletakkan pasukan bantuan dalam keadaan berisiko setiap masa.

Persepsi negatif terhadap isu keselamatan di Afghanistan perlu dihentikan kerana ia berpotensi menghalang kemasukan bantuan luar.
Mangsa kelaparan, hilang ahli keluarga
Kongsi Lila, ramai mangsa kini dalam keadaan lapar dan trauma. Struktur keluarga besar yang biasa tinggal bersama dalam satu kawasan menyebabkan ramai terkorban serentak.
“Apabila tragedi berlaku, satu keluarga boleh lenyap dalam sekelip mata. Ada warga emas terpaksa turun ke bawah untuk mendapat rawatan kerana bantuan di atas terlalu terhad. Helikopter pula hanya digunakan untuk membawa mereka yang kritikal atau jenazah yang terkorban,” katanya.
Keperluan mendesak kini merangkumi makanan, air bersih, ubat-ubatan dan khemah sebagai tempat berteduh.
Semangat dan persepsi antarabangsa terhadap Afghanistan
Walaupun berdepan cabaran, Lila memuji kerjasama yang diberikan semua pihak termasuk NGO antarabangsa dan kerajaan Taliban. Namun, kekangan sosial, khususnya melibatkan wanita, sedikit sebanyak turut memberi cabaran terhadap proses penyaluran bantuan.
Beliau bagaimanapun menegaskan, persepsi negatif terhadap isu keselamatan di Afghanistan perlu dihentikan kerana ia berpotensi menghalang kemasukan bantuan luar.
"Saya tidak lihat ia sebagai satu perkara negatif. Taliban memang menjaga wanita, itu budaya di sini dan kita kena hormat.
“Saya tidak pernah rasa tidak selamat di sini. Malah masyarakat di sini menghormati Malaysia.
"Semasa saya ke Mazar Dara yang merupakan kawasan paling teruk terjejas, kawalan keselamatan sangat ketat kerana gegaran masih kerap berlaku. Tetapi apabila diberitahu kami dari Malaysia, terus kami diberikan kebenaran untuk masuk,” katanya.
Rayuan kepada dunia
Justeru, Lila merayu supaya masyarakat antarabangsa memperhebatkan sokongan, bukan sekadar bantuan segera tetapi juga pemulihan jangka panjang.
Sejak Februari 2025, 422 pusat kesihatan di seluruh Afghanistan dilaporkan ditutup susulan pemotongan bantuan oleh Amerika Syarikat. Di timur Afghanistan sahaja, sebanyak 80 pusat kesihatan ditutup, termasuk sekurang-kurangnya 15 di Kunar dan 29 di Nangarhar, meningkatkan lagi kerentanan mangsa gempa bumi.
“Bantuan mesti segera sampai ke kampung-kampung yang terpinggir di celah gunung dan gurun ini. Jika tidak, krisis ini akan bertukar menjadi bencana kemanusiaan yang lebih parah,” katanya penuh harap.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami