SINGAPURA: Kerajaan Singapura akan menyumbang US$100,000 kepada Palang Merah Singapura (SRC) dalam menyokong usaha menyalurkan bantuan bencana dan kemanusiaan ke Jawa Barat, Indonesia susulan kejadian gempa bumi pada Isnin (21 Nov).

"Sumbangan oleh Kerajaan Singapura akan membantu rayuan SRC sebanyak US$50,000 bagi menyokong keperluan segera terhadap mereka yang terjejas akibat gempa bumi, termasuk keperluan makanan, bantuan perubatan dan tempat perlindungan," menurut Kementerian Luar republik itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut laporan pada Rabu (23 Nov), angka kematian akibat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter yang melanda daerah Cianjur, Jawa Barat Isnin lalu telah meningkat kepada 271 manakala 40 orang masih hilang.

Sekurang-kurangnya 2,043 orang cedera dan 61,908 orang ditempatkan di pusat pemindahan selepas 56,320 kediaman rosak.

Gempa bumi baru-baru ini disifatkan yang terburuk di Indonesia selepas gempa bumi dan tsunami Sulawesi pada 2018 yang meragut kira-kira 4,340 nyawa.

-- BERNAMA