INTERNATIONAL
Gempa bumi Myanmar burukkan kesan konflik dalam negara terhadap rakyat - ICRC

Bantuan bagi mangsa yang terjejas akibat gempa bumi di Myanmar amat mendesak ketika ini. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat yang berlaku Jumaat memburukkan lagi keadaan rakyat Myanmar yang telah berhadapan dengan kesan konflik melibatkan pasukan keselamatan serta kumpulan etnik bersenjata di negara itu.
Ketua Delegasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Myanmar, Arnaud de Baecque, berkata pihaknya memantau rapat situasi semasa susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 menggegarkan Myanmar dan Thailand pada Jumaat.
"Kami sedang ikut rapat situasi terkini di lapangan secara teliti, untuk menentukan keperluan yang perlu dihulur bersama Persatuan Palang Merah Myanmar (MRCS) dan rakan-rakan Bulan Sabit Merah. Kami juga bersiap sedia untuk membantu mereka yang terjejas, walau di mana sahaja mereka berada.
"Penting untuk kami diberikan akses kemanusiaan sepenuhnya ke semua kawasan dan komuniti yang terjejas. Buat masa ini, operasi menyelamatkan nyawa menjadi keutamaan kolektif kami," katanya kepada Astro AWANI hari ini.Konflik di Myanmar bermula pada Februari 2021 ketika tentera Myanmar melancarkan kudeta terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik, menahan pemimpin Aung San Suu Kyi dan pegawai-pegawai lain.
Kudeta ini mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara, yang dihadapi dengan kekerasan oleh pihak tentera. Sejak itu, Myanmar telah mengalami ketidakstabilan politik yang serius, dengan pertempuran antara tentera dan kumpulan pemberontak etnik yang semakin meningkat.
Ribuan orang dilaporkan telah terbunuh dan ramai terpaksa melarikan diri dari rumah mereka.
Mengulas lanjut mengenai situasi semasa di Myanmar, Arnaud mengakui bantuan bagi mereka yang terjejas amat mendesak ketika ini.
"Kami mengakui keperluan amat mendesak untuk membantu mereka yang terjejas. Ramai kakitangan ICRC dan MRCS terpaksa tinggal di pejabat Palang Merah untuk keselamatan atau tidur di jalanan kerana bimbang sekiranya rumah runtuh.
"Dalam masa sama, pihak kami berkoordinasi rapat dengan MRCS dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan untuk memastikan tindak balas yang terancang dan berkesan.
"Kami berusaha untuk menyelaraskan usaha, berkongsi maklumat dan sumber untuk mencapai populasi yang paling terjejas.
"Kami juga berusaha untuk memastikan bahawa agihan bantuan dijalankan secara neutral dan tidak berat sebelah," katanya.
Sementara itu, katanya ICRC bersama MRCS bersiap-sedia untuk menyediakan pelbagai sokongan kecemasan, termasuk tempat perlindungan, makanan, air dan perubatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami