DAMASCUS: Pertubuhan sukarelawan Syria Civil Defence mengumumkan penamatan operasi mencari dan menyelamat mangsa terselamat di kawasan dikawal puak pemberontak di utara dan barat laut negara itu.

Kumpulan yang juga dikenali sebagai White Helmets itu berkata ia percaya tiada lagi mangsa yang masih hidup setelah terperangkap di bawah runtuhan itu selepas 108 jam misi pencarian.

Pihaknya sebaliknya kini menumpukan kepada pencarian mayat mangsa yang berada di bawah runtuhan bangunan.

“Sejak permulaan gempa bumi pada Isnin jam 4.17 pagi waktu tempatan sehingga pengumuman tamat operasi mencari dan menyelamat, sejumlah 2,166 korban dicatatkan dengan lebih 2,950 mangsa yang cedera di semua kawasan dilanda gempa di utara dan barat laut Syria.

"Pasukan kami telah menjalankan tugas selama 108 jam di lebih 40 bandar, pekan dan kampung di barat laut Syria, di mana kira-kira 479 bangunan kediaman musnah sepenuhnya, dan lebih 1,481 bangunan musnah sebahagiannya," kata White Helmets dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, kebanyakan mangsa korban di kawasan paling teruk terjejas, termasuk di bandar Jindires dan Haram di utara Syria, ialah wanita dan kanak-kanak.